Gerakan Wahabi Reformis Islam Ataupun Pelampau Agama


Adakah Wahabiyah Satu Gerakan Mujaddid Agama

Assalamualaikum, saya sebagai empunya blog Ansar as-Sunnah terpanggil untuk memperkatakan berkenaan topik Wahabi, yang menjaja Tauhid tiga serangkai ini, dikupas dari sudut sejarah kemunculan fahaman ini dan kesannya keatas umat Islam, dibawah ini saya akan bentangkan pengalaman,pengajian, dan kajian saya(dalam masalah sekitar Wahabi termasuk dari kajian Ilmiah saya di tahun akhir Pusat Pengajian Pondok tujuh tahun yang lepas) dalam bentuk rencana, kemudian saya akan bentangkan beberapa makalah maupun rencana yang berkisar kepada perbincangan seputar tajuk Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ was Sifat yang dinaqal dari blog Ahli Sunnah Wal Jamaah. Harap selamat membaca dengan teliti dan sabar.

Sebelum itu suka saya katakan bahwa Ahli Sunnah Wal Jamaah (Kholaf maupun Salaf) tidak pernah berselisih pandangan diatas sabitkan Tauhid ini, tetapi yang menjadi satu kekeliruan bila ada golongan cuba menjadi juara dengan mempromosikan Tauhid ini menurut pemahaman fahaman mereka yang penuh dengan keta’suban pada pendapat kaul dhoif lagi mardud Ibnu Taimiyyah dan Muhammad Ibnu Wahhab, tanpa merujuk banding kepada pandangan Ijmak ulama sezaman dengan kedua-dua Sheikh tadi dan juga dengan tidak merujuk Ijmak ulama yang sebelum keduanya dari kalangan Salaful Soleh, golongan ini terkenal dengan tema perjuangan“kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah”.

Pendekatan Menghalalkan Cara Wahabi Sesatkan Akidah Masyarakat

Mereka yang cuba menjadi model kepada masyarakat Islam di Malaysia, rupanya hanya model memepecah-belahkan masyarakat dengan pandangan dan pendapat yang lain dari yang biasa diamalkan di Malaysia, sejak zaman berzaman masyarakat Malaysia mewarisi akidah yang berpegang dengan pendapat Asyairah dan Maturidiyah dalam pegangan Tauhid,(telah menjadi tradisi masyarakat Malaysia berpegang mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dengan pendekatan yang dibawa Imam Asyaari dan Imam Abu Mansur Maturidi) Imam Assyafi’e dalam amalan Fikah dan (kebanyakannya)Al-Ghazali dalam amalan Tasauf. Ada sesetengah mereka menafikan malah ada yang menyesatkan dua orang Imam yang sudah lama jadi ikutan masyarakat Malaysia dalam ilmu Usuluddin, tidak sedarkah mereka secara tidak langsung mereka menolak jumhur Ulama dalam perbagai disiplin Ilmu Islam?, dan adakah dengan berlawanan pendapat dengan Ijma’ Jumhur umat ini layak dikira sebagai pandangan yang Muktabar. Bukankah ada sabdaan Nabi yang mengiktiraf bahwa tidak berlaku kesilapan dan Ijma’ Jumhur umat ini?. Harus diperhatikan, kenyataan yang berlaku hari ini, mereka ini kalau tidak lagi diendahkan pemerintah, mereka akan berpihak kepada pihak Pembangkang dalam dunia politik.

Puak Mutasyabihah Dan Mujassimah Di Zaman Moden Yang Bernama Wahabi

Golongan yang mendakwa Allah bertempat ini juga sering-kali bersandarkan kepada perjuangan mereka sebagai penerus manhaj Salaful Soleh yang dibawa oleh Imam Ahmad Ibnu Hambal, benarkah dakwaan ini?, cuba tunjuk bukti yang Imam Ahmad mengajarkan Tuhan itu bertempat, berjisim dan serupa dengan makhluk?, mana pendapat Imam Ahmad yang mengatakan Qunut Subuh sebagai perbuatan yang bidaah?, mana pendapat Imam Ahmad yang menyatakan ziarah kubur berbuatan syirik?, mana dia kata-kata Imam yang dipetik dari karangan beliau yang menyatakan mazhab Imam Syafi’e salah dan tidak betul?, perlu di ingat bahwa Imam Ahmad Ibn Hambal merupakan murid Imam Syafi’e dalam bidang Fikah dan Imam Syafie pula berguru dengan Imam Ahmad dalam ilmu Hadis. Hati-hatilah dengan golongan bahayakan iman ini. Misi kembali kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah versi Wahabi Menolak Mazhab Apakah yang sebenarnya kembali kepada Qur’an dan Sunnah itu(cara acuan mereka)?, adakah dengan mentafsirkan Qur’an dan Hadis dengan mengambil kefahaman yang dangkal dari fikiran sendiri dikatakan “kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah”?, adakah dengan menjadi juara mewar-warkan beberapa masalah khilafiah yang telah lama dijawab Ulama dikatakan “kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah”?, adakah dengan memasarkan ajaran membidaahkan Qunut, Talqin, Solat tak wajib qada’, Talak empat sekali gus jatuh satu(beberapa contoh yang kononnya ikut Qur’an Sunnah versi mereka dalam bidang Fikah) dikatakan kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah ? apakah Imam mazhab empat yang diikuti jumhur umat ini pembuat bidaah? adakah dengan mengajarkan masyarakat bahwa Allah bertempat, berjisim dan bersifat sama dengan manusia ini, dikatakan kembali kepada ajaran Qur’an dan Sunnah?, adakah dengan menyesatkan ulama Tasauf dan Tarikat (yang mengajarkan akhlak manusia sesama manusia, dan akhlak manusia dengan tuhan dalam beribadat dengan ikhlas) sampai mengkufurkan para ulama Tasauf ini sebagai orang yang kembali pada Qur’an dan Sunnah Nabi…adakah dalam Qur’an dan Hadis nas yang jadi dalil boleh menyesatkan golongan yang tidak sama pendapat dengan kita?. Sila rujuk sejarah yang Imam Mujadid mereka sayangi pernah beriktiqad bahwa orang tidak sefahaman dengan fahaman mereka adalah kafir harbi, Shekh Muhamad Ibn Wahhab telah memkafirkan ahli Qiblat, pengikut beliau yang baru wajib ikrar dihadapannya  bahwa mereka dulunya adalah kafir, orang itu dan ini kafir, ibu-bapa juga kafir kerana tak ikut pahaman Wahabi, cuba rujuk kita addus Saniyah fi raddi ala Wahabiah karangan Mufti Syafi’e Mekah Al-Habib Sayyed Zaini Dahlan Al-Makki dan kitab karangan Sheikh Sulaiman Ibn Wahhab adik beliau sendiri.

Hujjah Wahabiyyin Kuat Dikalangan Pengikut Sendiri Tetapi Beku Bila Didebatkan

Di Kelantan sering berlaku seorang hamba Allah yang menjadi ‘‘maulana” Wahabi melalui murid-murid sekolah beliau mempromosikan fahaman mereka dengan risalah-risalah bermusim yang ditaburkan di masjid-masjid utama Bandaraya Kota Bharu, yang mempertikaikan amalan imsak dalam berpuasa dan lain-lain, yang didakwa tidak terdapat dalam kitab-kitab fekah muktabar bila mereka rujuk, dalam mempersoalkan siapa yang memulakan bidaah imsak ini, mereka mengamalkan boleh makan walaupun sudah azan subuh, perkara ini diakui sendiri sahabat penulis yang menjadi “santri” di Pusat Pengajian ala “Sunnah” tersebut. Bila disoalkan pada maulana mereka soalan ini, (penulis memetik soalan Tuan Guru penulis Al-Fadhil Sheikh Wazir Che Awang) yang kamu dok pertikai kerja ulama Fikah dan Falak dalam bab imsak tu, kenapa tak pertikaikan juga kerja ulama Fikah dan Falak dalam bab waktu solat?, kalau sungguh puak kamu yang seratus peratus amal Sunnah bila nak solat jangan guna takwin yang dibuat ulama Fikah dan Falak, puak kamu cukup tengok pergerakan matahari dan cahayanya dalam menentukan waktu solat, bila ditanya soalan ini mereka terkedu seribu bahasa. Mereka juga seringkali mempersoalkan bentuk pengajian di masjid-masjid Kelantan tidak menepati yang sepatutnya. Mereka mendakwa tidah payah belajar Fikah dan lain-lain disiplin ilmu, cukup hanya belajar kitab Hadis dan Tafsir sahaja, kerana didalam keduanya sudah ada semua ilmu.

Wahabi Golongan Yang Tidak Beradab Dengan Rasulullah Saw

Yang paling buat saya terkejut, tentang taarif Sunnah, mereka beriktiqad bahwa perbuatan Rasul disudut berpakaian, makan, minum, berjalan, tidur dan lain-lain bukanlah termasuk dalam Sunnah Rasul, yang demikian hanya adat kaum Rasul, kata mereka lagi (penulis memetik fatwa seorang lagi maulana mereka di Pasir Pekan), kalau sekiranya Rasul dilahirkan dikalangan kaum Cina nescaya Rasul juga akan memakai pakaian adat orang Cina, makan pakai pengepik buluh seperti orang Cina, sedarkah wahai Wahabiyyin, kamu telah menafikan taarif,”segala perbuatan, kata-kata, diam Rasulullah merupakan Sunnah”. Kalau perbuatan, perkataan dan diam Rasul bukan Sunnah, tinggal apa lagi yang boleh ditaarifkan Sunnah?, tidakkah kamu sedar bahwa Iman kamu dalam bahaya bila tidak beradab dengan junjungan Baginda dengan mempertikaikan Sunnah, lupakah kamu dengan Ijmak Ulama bersepakat bahwa jahat adab dengan Rasulallah Saw antara sebab terjerumus kedalam kekufuran?.

Wahabi Versi Madinah Yang Sederhana w/s Wahabi Pakistan yang Extremis

Agak kelakar bila diingatkan balik kata-kata ustaz saya di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan, Bachok dulu, lantaran kisah seorang ustaz Wahabi versi terbaru lulusan Universiti Abu Bakar Pakistan, membidaahkan masalah qunut Subuh dan Ma’tsurat(ma’tsurat juga dibidaahkan?) di Pondok Madinatul Ilmi, Kandis, bila perkara ini sudah menjadi geger di Kelantan, menjadi tangggungjawab Dato’ Mufti Kelantan Sheikh Hasbullah untuk meredakan isu tersebut…kemuncak isu tersebut ialah para pelajar bangkit buat demotrasi membakar tilam depan asrama, berikutan peristiwa tersebut al-Fadil Ustaz saya yang berkelulusan Universiti Madinah berkomentar dengan; ana ni belajar Wahabi dah, tapi ada lagi hok lebih Wahabi dari Wahabi Mekah( maksudnya wahabi Pakistan lebih ekstrem dalam menyalahkan pendapat Ijma’ Ulama dengan membiadaahkan Qunut, tanpa melihat pada pandangan dan pendapat orang lain dalam masalah Qunut tersebut, sedangkan Wahabi Mekah sendiri adalah juga adabnya dari sudut menghormati pandangan ulama mazhab.

Wahabiyah Gerakan Celaka Dan Dajjalkan Umat Ini

Kalau dipandang disudut sejarah Islam, golongan Wahabi boleh dianggap sebagai kaum yang celaka dan dajal kecil bagi umat Islam, kenapa saya kata begitu?, ingat tak puak Wahabi sendiri mengaku yang gerakan mereka salah satu sebab musabab yang membawa kepada kejatuhan sistem Khulafa Islamiyah terakhir yaitu Khulafa Usmaniayah di Turki, saya ada terbaca satu buku terjemahan dari nota-nota cacatan laporan yang telah jadi arkip di perpustakaan di England seorang perisik British yang bertugas di semenanjung Tanah Arab, ringkasan dari buku tersebut ialah melalui perisik yang berpura-pura memeluk Islam itu, Muhammad Ibn Wahhab berjadi dijadikan alat untuk hancurkan sistem Khalifah di dunia Islam, beliau berjaya dirosakkan akhlaknya dengan perantaraan arak dan perempuan, beliau contoh terbaik bagi ejen perosak penjajah Barat untuk meruntuhkan sistem Khulafa yang selama ini mengawal keselamatan dan hal ewal umat Islam sedunia, kenyataan yang berlaku selepas kejatuhan Khalifah Usmaniyah satu demi satu negara umat Islam difaraidkan penjajah laknat, penjajah berjaya jadikan beliau seorang yang bukan Syiah dan bukan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kekejaman Puak Wahabi Dalam Sejarah

Dalam sejarah perang Wahabi di Mekah dicatat ulama Ahli Sunnah, Al-Habib Sayyed Zaini Dahlan dalam kitab Ad-Dur As-Saniyyah fi raddi ala Wahabiyah dan kitab kitab ulama yang lain menyebut, dengan bantuan persenjataan dan latihan dari pihak Penjajah British, dan dengan dokongan dari kepala puak Najd Muhammad Ibn Suud, yang kedua punya kepentingan masing-masing, berganding bahu dengan bantuan penjajah Barat, telah menyerang Kota Mekah yang waktu itu diperintah oleh golongan Alawiyyin,Syarif Mekah, dan bernaung di bawah pemerintahan Khalifah Usmaniyah, pihak penjajah bersama-sama Wahabiyyin dan suku Najd telah membuat sekatan ekonomi keatas penduduk kota suci Mekah berbulan-bulan lamanya , sehingga penduduk Mekah tepaksa sembelih anjing untuk dijadikan makanan kerana kehabisan makanan, bila Syarif melihat hal ini beliau terpaksa menyerahkan bumi Mekah kepada dua Muhammad yang didukung penjajah ini, Syarif dan keluarganya hanya boleh memerintah wilayah Urdon (Jordan) dan Iraq, semenjak itu bumi Mekah dikuasai dua Muhamad dan menjadi pusat perancangan yang membawa kepada runtuhnya sistem Khulafa Islam terakhir.

Selanjutnya saya akan kemukakan fakta-fakta dari blog penyokong Ahli Sunnah wal Jamaah, insyaaalah nanti saya akan komentarkan lagi tentang Wahabi ini yang bertopengkan perjuangan Agama dan berjuang dipentas arena politik demi menyebarkan ajaran mereka yang penuh dengan penuh keta’suban.

Written by akarimomar , dari blog http://traditionalislamblog.wordpress.com

October 16, 2009 at 1:54 am

Posted in Uncategorized

Muhammad Abdul Wahhab Bukan Mujaddid

leave a comment »

petikan dari: http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/01/25/bukan-mujaddid/

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Pengasas fahaman Wahabi, Muhammad Abdul Wahhab (meninggal dunia 1787) bukannya seorang mujaddid kerana sistem keilmuannya tidak berada dalam acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta kaedah ilmunya tidak mengikut kaedah fahaman sunni.

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr. Uthman El Muhammady berkata, selain itu ilmu yang ada padanya juga tidak sampai sehingga ke peringkat mampu melakukan ijtihad dan keadaan itu menyebabkan Muhammad bukan dikategorikan sebagai mujaddid.

Paling besar dalam sejarah beliau berkata ialah tindakan Muhammad bekerjasama dengan British dan Perancis hingga membawa kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah kerana menganggap kerajaan itu kononnya mengamalkan bidaah.

”Walaupun ini bukan satu-satunya faktor kemusnahan kerajaan tersebut tetapi ia tetap merupakan salah satu sebab yang membawa kepada kejatuhan itu.

“Tidak ada mazhab fiqh dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengizinkan ulul-amri (pemerintah) disanggah sebegitu rupa dan ini berbeza dengan fahaman Wahabi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Penelitian kembali tentang kedudukan Muhammad Abdul Wahhab sebagai mujaddid‘ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pembentangan kertas kerja itu sempena Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 1: Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyyun anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).

Sehubungan itu Uthman berkata, sukar untuk meletakkan Muhammad berwajah mujaddid kerana amalannya yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, ia ditambahkan lagi dengan tabiat fahaman Wahabi yang sama seperti Kahawarij zaman klasik dan sering berperang dengan golongan tidak bersetuju dengan mereka.

“Mereka senang menghalalkan darah dan harta orang lain sebagaimana yang jelas dalam sejarah serta ajaran mereka.

“Jelas dalam skop sistem ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah ajaran Muhammad Abdul Wahhab pada beberapa perkara asasi iaitu akidah, syariat dan akhlak serta rohani adalah amat bertentangan sama sekali,” katanya.

Uthman di dalam pembentangan kertas kerjanya turut mendedahkan bagaimana bapa Muhammad iaitu Abdul Wahhab Sulaiman al-Najdi serta adiknya Sulaiman yang tidak redha dengan dakwah pengasas fahaman Wahabi itu.

“Adiknya Sulaiman marahkan Muhammad kerana pengasas fahaman Wahabi itu terlalu berpandukan kepada fahaman ibn.Taimiyyah dan ibn. Qayyim tanpa memandang pendapat ulama terdahulu dan kemudian.

“Ini terkandung di dalam kitab karangan Syeikh Muhammad Abdullah al-Hanbali iaitu seorang mufti di Mekah (meninggal dunia 1295 hijrah),” katanya lagi.

Mengenai ulama yang boleh digelar mujaddid, Uthman telah menyenaraikannya mengikut tempoh tertentu antaranya; Umar Abdul Aziz (salah seorang Khalifah Bani Umaiyyah); Imam Syafie; Imam Abu Hassan al-Asyari; Al-Baqillani; Imam Abu Hamid al-Ghazali dan Imam al-Nawawi.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADdan SHOLINA OSMAN (pengarang@utusan.com.my)

http://utusan.com.my/

Written by akarimomar

January 25, 2010 at 4:16 am

Posted in Uncategorized

Posted in Uncategorized

Benarkah musyrikin sama-sama bertauhidkan rububiyyah?

leave a comment »

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Utusan Malaysia 4 Januari 2010

sujud hamba-hamba-Nya yang soleh semata-mata kerana Allah SWT.


BERTEMU kembali di ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga penghijrahan kita kali ini lebih bermakna dan turut melonjakkan kita dalam perjalanan kita menuju kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kembali kepada tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan. Setelah kita meneliti beberapa dalil dan jawapan yang menunjukkan kepincangan dan kebatilan tauhid tiga serangkai, ada baiknya kita juga memerhatikan sebahagian dalil yang digunapakai oleh pengikut tauhid ini bagi menegakkan pendapat mereka yang kabur.

Kami telah menerima maklum balas daripada mereka yang berpegang dengan tauhid ini dan mereka telah menyatakan dalil-dalil mereka. Namun, di sini kami hanya akan mengutarakan sebahagiannya sahaja dan jawapan bagi hujah mereka tersebut. Manakala sebahagiannya lagi, kami akan susuli pada ruangan dan kesempatan yang lain, insya-Allah.

Sebelum memanjangkan kalam, kami ingin menyuarakan biarlah perbicaraan kita ini difokuskan kepada tajuk yang dibincangkan, bukannya mencemuh pihak yang tidak sependapat dengan kita. Andai kita merasa kita lebih bijak dan lebih mengetahui, sepatutnya kitalah juga yang lebih bijak dan mengetahui tentang adab-adab berbicara dan berdebat. Bukanlah tujuan kami mengetengahkan tajuk ini untuk menyentuh sensitiviti sesiapa, mencari ruang permusuhan atau mengkafir dan menyesatkan sesiapa. Tetapi tujuan kami hanya untuk melihat kebenaran itu tertegak dan kebatilan itu terpadam.

Berbalik kepada tajuk yang kita bicarakan, kami ingin menegaskan bahawa antara perkara utama yang menyebabkan kami menolak pembahagian tauhid ini ialah pembahagian tauhid ini telah mengkategorikan orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid dengan tauhid rububiyyah, bukannya sifat rububiyyah atau uluhiyyah bagi Allah.

Mereka yang berpegang dengan tauhid ini berpegang dengan firman Allah SWT dalam surah al Zumar ayat 38: Dan demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab, “Allah.”

Mereka juga berpegang dengan firman Allah SWT: Tanyakanlah lagi, “Siapakah tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?” Mereka akan menjawab, “(Semuanya) kepunyaan Allah.” Katakanlah, “Mengapakah kamu tidak mahu bertaqwa? (al-Mukminun: 86 dan 87)

Ayat-ayat lain yang serupa dengan ayat ini banyak terdapat di dalam al-Quran.

Kami menyatakan bahawa hujah ini terlalu lemah. Ini kerana orang-orang musyrik hanya mengaku dengan lidah mereka kewujudan Allah ketika mana mereka berada dalam keadaan terdesak setelah dikemukakan hujah-hujah kepada mereka. Sedangkan hati-hati mereka menolak dengan apa yang mereka ungkapkan dan mengingkarinya. Allah SWT telah menjelaskan hakikat mereka melalui firman-Nya: Mereka menjadikan kamu senang hati dengan mulut mereka, sedangkan hati mereka menolaknya. (al-Taubah:

Berikrar

Berikrar dengan lidah semata-mata tanpa ditasdiqkan (dibenarkan) dengan hati, tidak ada nilainya dan tidak dikira pengakuannya itu di sisi syariat Allah.

Untuk lebih jelas lagi, perhatikanlah sambungan ayat daripada surah al-Zumar di atas yang bermaksud: Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri. (al-Zumar: 38)

Ayat ini jelas menunjukkan pembohongan dan kepura-puraan perkataan mereka. Mereka ini tetap juga menyandarkan kemudharatan dan manfaat kepada selain Allah. Mereka sebenarnya jahil tentang Allah dan mendahulukan tuhan-tuhan mereka daripada Allah, hatta dalam sekecil-kecil perkara.

Sekiranya jawapan ini belum cukup untuk memuaskan hati pengikut tauhid tiga ini, marilah kita perhatikanlah semula perkataan orang musyrik kepada Nabi Hud AS: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Bagaimanakah pengikut tauhid tiga boleh mengatakan orang musyrik mempercayai bahawa hanya Allah yang berkuasa dalam urusan mentadbir, memberikan manfaat dan mudharat sehingga mereka layak dikatakan mempunyai tauhid rububiyyah? Padahal mereka mempercayai bahawa berhala-berhala mereka mampu mendatangkan mudharat dan manfaat?

Seterusnya, perhatikanlah pula ayat 136 dari surah al-An’aam ini: Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: “Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.

Jika orang musyrikin mentauhidkan Allah dari sudut rububiyyah kenapakah mereka telah mendahulukan berhala-berhala mereka daripada Allah daripada sekecil-kecil dan serendah-rendah perkara.

Allah telah berfirman dalam menjelaskan kepercayaaan mereka terhadap berhala-berhala mereka: Dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat itu). (al-An’aam : 94)

Perhatikanlah betul-betul ayat-ayat ini, kemudian apakah pendapat kalian terhadap kebenaran tauhid uluhiyyah dan rububiyyah ini yang mengatakan bahawa orang musyrikin dan Muslimin adalah sama dan hanya berbeza pada tauhid uluhiyyah?

Dalil yang lebih menjelaskan lagi perkara ini ialah firman Allah: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (al-An’aam: 108)

Adakah selepas memerhatikan ayat-ayat Allah ini, kita masih melihat bahawa pengakuan orang musyrikin sebagaimana dalam surah al Zumar ayat 38 di atas dan ayat yang seumpama dengannya diungkapkan dengan jujur dan ikhlas? Adakah kita masih mahu mengatakan bahawa mereka bertauhid dengan tauhid rububiyyah?

Sesungguhnya kami dan ulama Ahli Sunnah sememangnya tidak pernah menolak penyusunan dan pembahagian ilmu yang banyak dilakukan dalam ilmu-ilmu Islam kerana kebaikannya kepada umat Islam. Tetapi kami tidak boleh menerima pembahagian tauhid ini yang implikasinya sangat memudharatkan umat Islam iaitu membuka pintu kepada mengkafirkan ahli Kiblat. Terlajak sampan boleh berundur, terlajak kata binasa.

Written by akarimomar

January 19, 2010 at 12:17 am

Posted in Uncategorized

Tagged with tauhid rububiyyah, tauhid tiga serangkai, tauhid uluhiyyah

Dalil sanggah membezakan tauhid uluhiah dan rububiah

leave a comment »

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Utusan Malaysia – 14 Disember 2009

MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.

Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.

Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab – jama’ kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: “Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: “Tuhan-tuhan (Aalihah – jamak kepada Ilah).”

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi’aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?”

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.

Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a’lam.

Written by akarimomar

January 17, 2010 at 12:46 am

Posted in Uncategorized

Tagged with Abu al Hasan al Asy’ari, Ahli Sunnah Wal Jamaah, aqidah, asma’ wal sifat, ASWJ, dalil, ibn Taimiyyah, Islam, Maturidi, rububiyyah, sifat 20, Tanah Melayu, tauhid rububiyyah, tauhid tiga, tauhid tiga serangkai, tauhid uluhiyyah, uluhiyyah, wahhabi, Yayasan Sofa

Tauhid uluhiah dan rububiah

leave a comment »

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Utusan Malaysia – 7 Disember 2009

Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.


Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.

Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan terpadam.

Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?

Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.

Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.

Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.

Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra’ (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.

Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.

Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.

Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian yang lainnya.

Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?

Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?

Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?

Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.

Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.

Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.

Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:

1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.

2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.

Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.

Kenyataannya berbunyi: “Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang”. (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)

“Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT”.

Mereka juga menyatakan: “Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain”. (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).

Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.

Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari pembahagian tauhid ini.

Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.

Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.

Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.

Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab: Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah (Laa Ilaaha Illallah).

Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.

Adakah orang kafir ahli tauhid?

Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan tauhid uluhiah.

Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.

Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.

Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.

Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).

Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.

Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.

Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.

Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda’ r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.

Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.

About these ads

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s