Istibrak Dari Najis, kewajiban Yang Selalu Dibuat Ringan Umat Islam


Bersuci Tunai Tanggungjawab Allah

Bersuci Tunai Tanggungjawab Allah


Setiap orang perlu menjaga kebersihan, apatah lagi dalam menjaga kebersihan dirinya, sama ada zahiriah atau batiniah. Ada bermacam-macam cara yang dipraktikkan oleh seseorang untuk menjaga kebersihan, akan tetapi ada satu cara yang mungkin segelintir orang tidak mengetahuinya dengan baik. Cara menjaga kebersihan yang kita maksudkan itu ialah istibra‘. Kalau kita amati, cara ini sebenarnya amat diperlukan kerana kita bukan hanya disuruh beristinja‘ tetapi juga beristibra‘ sebagai langkah permulaan bagi perbuatan menjaga kebersihan itu. Apakah istibra‘ itu sebenarnya?

Pengertian Istibra‘.

Istibra‘ adalah perkataan arab yang membawa erti menuntut kebersihan.

Dari segi syara’, perkataan istibra‘ digunakan dalam dua bentuk:

Pertama: yang berhubungkait dengan kebersihan (thaharah).

Kedua: yang berhubungkait dengan nikah iaitu dalam membicarakan soal penentuan nasab keturunan. (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah: 3/167)

Dalam konteks persoalan istibra‘ ini, kita hanya akan menyentuhnya dalam bentuk pertama sahaja iaitu thaharah.

Istibra‘ Di Dalam Thaharah.

Ibnu ‘Arafah mendefinisikan istibra‘ sebagai menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Pengertian ini bermaksud membersihkan air kencing, tahi, mazi, wadi dan mani sebagaimana yang difahami dari perkataan ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali.

Sementara ulama Mazhab Hanafi mentakrifkan sebagai menuntut kebersihan dari luar dengan sesuatu sehingga yakin bahawa tidak ada kesan-kesan najis yang tinggal atau tersisa, dan mereka tidak membayangkan masalah ini ada kaitannya dengan pihak perempuan kerana pada pendapat mereka, perempuan tidak dituntut beristibra‘.(Hasyiah Ibnu ‘Abidin: 1/359)

Perkataan-perkataan yang ada hubung kaitnya dengan istibra‘ ini ialah istinqa‘, istinzah dan istintar. Kesemua perkataan ini membawa makna membersihkan kedua-dua tempat keluar najis daripada apa yang keluar darinya.

Hukum Istibra‘.

Sebilangan besar ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali mengatakan hukumnya adalah sunat dengan beralasan bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu, ia tidak akan keluar lagi. Sementara ada juga sebahagian daripada ulama Mazhab Syafi’e yang berpendapat bahawa istibra‘ itu hukumnya wajib, dan inilah juga menjadi pendapat ulama Mazhab Hanafi dan Maliki.

Mereka yang mengatakan hukum beristibra‘ itu wajib berdalilkan dengan hadith Ad-Daraquthni yang maksudnya :

“Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing, kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya”.

Hadith ini disokong dengan kenyataan bahawa jika seseorang itu menyangka atau merasa yakin bahawa mengikut kebiasaannya, jika dia tidak beristibra‘ nescaya akan keluar sesuatu lagi daripada kemaluannya, maka wajiblah dia melakukan istibra‘.

Dalil mereka yang kedua yang maksudnya :

“Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda: “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)

Hikmat Beristibra‘.

Ali Al-Ujhuri berkata: “Sesungguhnya beristibra‘ itu tujuannya boleh difahami oleh akal dan dia bukan dari amalan ta’abudiyah (semata-mata menurut perintah Allah), kerana dengan beristibra‘ akan terhenti hadath yang keluar yang boleh membatalkan wudhu”.

Sehubungan dengan ini semua mazhab bersetuju mengatakan, seseorang yang berhadath jika kuat sangkaannya bahawa hadathnya ada yang masih belum habis dan berhenti keluar, maka tidak sah wudhunya tanpa beristibra‘. Ini bersandarkan kepada kata sepakat para ulama dalam menentukan bahawa suatu hukum itu boleh dibina bersandarkan sangkaan kuat.

Cara Untuk Beristibra‘.

Istibra‘ itu dilakukan sama ada untuk membersihkan kotoran daripada dubur atau untuk membersihkan air kencing. Jika dilakukan untuk membersihkan najis daripada dubur, maka memadai dilakukan sekira-kira dia merasakan bahawa tiada ada yang tinggal atau tersisa di tempat keluarnya.

Dengan kemudahan yang ada sekarang ‘kertas tandas golong’ sebagai alat istinja‘ boleh membantu mengesan sama ada masih ada najis yang tinggal atau sudah bersih dengan yakin. Cara ini adalah lebih baik, ini disebut oleh al-Quran bahawa yang tafsirnya:

“Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”.(Surah At-Taubah: 108)

Menurut suatu riwayat yang dinukilkan oleh imam Muhammad Ar-Razi di dalam tafsirnya “Al-Fakhrul Ar-Razi”, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam suatu masa pernah berjalan bersama orang-orang Muhajirin sehinggalah Baginda berhenti di pintu Masjid Quba‘, lalu Baginda bertanya kepada orang-orang Anshar yang sedang duduk di sana: “Adakah kamu orang-orang yang beriman?” Orang-orang Anshar itu diam tidak menjawab, lalu Baginda mengulang pertanyaan Baginda sekali lagi dan dijawab oleh Omar: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka ini orang-orang yang beriman dan saya bersama mereka”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bertanya: “Adakah kamu redha dengan ketentuan Allah (qadha‘)?”. Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersabar jika ditimpa bala?” Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersyukur di atas kesenangan?”. Mereka menjawab: “Ya”. Lalu Baginda bersabda: “Demi Allah, kamu memang orang-orang yang beriman”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Wahai orang-orang Anshar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu, apakah sebenarnya amalan kebersihan yang istimewa yang kamu kerjakan (sehingga mendapat pujian setinggi itu)?” Lalu mereka menjawab: “Kami kalau membersihkan sesudah membuang air besar dan buang air kecil, meskipun telah kami beristinja‘ dengan batu, selalu kami ikuti membasuhnya dengan air”. Lalu Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca ayat di atas.(Tafsir Al-Fakhrul Ar-Razi: 8/201)

Adapun jika istibra‘ itu dilakukan untuk membersihkan air kencing, sama ada daripada perempuan ataupun lelaki, maka jika perempuan, tidaklah dituntut istibra‘ kepada mereka menurut pendapat ulama Hanafi, memadailah dengan menunggu seketika sebelum mereka beristinja‘. Manakala para ulama Syafi’e dan Hanbali mengatakan dituntut istibra‘ dengan cara menekan ari-arinya.

Bagi lelaki pula, istibra‘ dilakukan dengan apa cara yang terbiasa dibuatnya dengan syarat perbuatannya itu tidak mengheretnya ke arah was-was syaitan atau membawa kepada menyusahkannya, kerana di antara adab istibra‘ itu ialah dengan membuang perasaan was-was daripada dirinya.

Imam Al-Ghazali berkata: “Jangan terlalu banyak berfikir dalam perkara hendak melakukan istibra‘ sehingga menimbulkan was-was dan menyusahkan”.

Adapun cara untuk seseorang itu menghentikan aliran air kencing daripada zakarnya ialah dengan cara mengurutnya dengan jari-jari tangan kirinya dari pangkal batang zakar hingga ke kepalanya sebanyak tiga kali sehingga tidak tersisa rasa basah di lubang zakarnya. Cara ini boleh dibuat dengan meletakkan jari tengah tangan kirinya di bawah batang zakar dan meletakkan ibu jarinya di atas batang zakarnya itu, kemudian mengurutnya turun hingga ke kepala zakar, dan disunatkan memicitnya dengan lembut untuk mengeluarkan saki baki air kencingnya itu.

Secara umumnya cara untuk beristibra‘ itu berbeza-beza mengikut kelainan cara yang dilakukan seseorang. Sekalipun begitu, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan aliran air kencing. Ada yang melakukannya dengan cara yang mudah, ada pula yang terpaksa membuat berulang-ulang kali untuk menghentikannya, dan ada juga yang melakukannya dengan cara berdehem-dehem. Walaupun begitu, makruh membalut kepala zakar dengan kain atau yang seumpamanya untuk menghentikan air kencing dari keluar. Begitu juga makruh memakan masa yang lama berada di dalam tandas hanya semata-mata untuk tujuan beristibra‘. (Al-Feqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 1/194-195)

///

Air Mutlak Bahan Utama Bersuci

Air Mutlak Bahan Utama Bersuci

dipetik dari fatwa Pehin Sri Mufti Brunei Darussalam.