Asyura, 10 Muharram: Kematian Firaun

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. setelah berhijrah ke Madinah melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka: “Hari apakah ini yang kamu berpuasa padanya?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang agung. Hari ini Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa pada hari ini sebagai syukur kepada Allah. Lalu kami turut juga berpuasa.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kami lebih layak mengikuti Musa dari kamu.” Lalu Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang Islam yang lain juga berpuasa.

Puasa Asyura’

Sebahagian umat Islam di Malaysia mungkin lebih mengenali bubur asyura dari puasa Asyura’. Di Malaysia juga mungkin lebih masyhur cerita bahawa Nabi Nuh a.s. dan beberapa orang beriman sesudah diselamatkan oleh Allah dari banjir besar, mencampurkan semua makanan yang ada pada mereka (ada yang menambah; dengan daun-daun dan dahan-dahan kayu) lalu mereka memasak bubur asyura. Konon untuk menghidupkan sunnah tersebut, maka masyarakat kita mengamalkan memasak bubur asyura pada waktu-waktu tertentu (tapi tanpa daun dan dahan kayu).

Sebenarnya ada dua peristiwa besar yang diriwayatkan dengan riwayat yang sahih berlaku pada 10 Muharram; kematian Firaun setelah tenggelam di Laut Merah dan pembunuhan Husain bin Ali r.a. pada Jumaat 10 Muharram 61 Hijrah di Karbala’. Kedua-dua peristiwa ini adalah peristiwa penting. Tetapi sunat berpuasa pada 10 Muharram (hari Asyura) hanya berkait dengan peristiwa kemusnahan Firaun sahaja dan tidak ada sebarang kaitan dengan pembunuhan Husain r.a. di Karbala’. Syiah memperingatinya setiap tahun dan melakukan amalan-amalan bid’ah sempena tarikh tersebut. Tetapi ajaran sunnah yang sebenarnya adalah disunatkan berpuasa sempena memperingati peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dari buruan Firaun tanpa dikaitkan sedikit pun dengan peristiwa pembunuha Husain r.a.

Imam Ibnu al-Qayyim menyebut di dalam Zadul Ma’ad:

“Puasa Aasyura ada tiga darjat:

Berpuasa 9, 10 dan 11 Muharram. Ini yang paling sempurna.

Berpuasa 9 dan 10 Muharram. Ini yang paling banyak disebut di dalam hadis.

Berpuasa 10 Muharram sahaja.”

Disunatkan berpuasa 9 dan 11 Muharram agar ibadah kita sebagai umat Islam berbeza dengan ibadah orang-orang Yahudi yang berpuasa pada hari 10 Muharram sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim: “Jika aku masih lagi hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa juga pada hari 9 Muharram.”

Puasa Asyura’ adalah di antara puasa-puasa yang afdhal. Ada ulama’ yang berpendapat bahawa sebelum para sahabat r.a. diwajibkan berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadhan, mereka telah diwajibkan terlebih dahulu berpuasa pada 10 Muharram. Mereka juga membiasakan anak-anak mereka untuk berpuasa pada hari Asyura’.

Bukhari meriwayatkan dari ar-Rabi’ binti Muawwidz r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pergi ke perkampungan Ansar pada hari Asyura’ dan bersabda: “Sesiapa yang telah makan pada hari ini, jangan lagi makan sehingga habis siang hari ini. Sesiapa yang berpuasa, teruskan berpuasa.” Ar-Rabi’ r.a. berkata: “Kami berpuasa pada hari itu dan menyuruh anak-anak kami berpuasa. Kami mereka untuk mereka permainan. Apabila ada yang menangis meminta makanan, kami akan lekakan dia dengan permainan itu sehingga berbuka.”

Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tobroni: “Tidak ada hari yang afdhal berpuasa melebihi hari-hari di bulan Ramadhan dan hari Asyura’.”

Kemusnahan Firaun

Firaun musnah pada hari itu. Dia adalah insan yang diabadikan kisahnya di dalam banyak ayat di dalam al-Quran dan dijanjikan oleh Allah akan diselamatkan jasadnya. Allah berfirman:

“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?” Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terselamat dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Yunus: 90-92)

Di Mesir ada satu muzium khas menyimpan khazanah dinasti Firaun yang dikeluarkan dari piramid-piramid dan kuil-kuil Firaun. Di dalam muzium tersebut ada ruang khas ‘The Royal Mummies’ atau Mumiyat Malakiah. Masuk muzium tu kena bayar. Masuk ruang khas tersebut kena bayaran lain. Di dalam ruang khas tersebut ada lebih kurang 9 mumia yang diambil dari piramid-piramid. Salah satunya Ramses II atau Ra’mases II. Dipercayai itulah Firaun yang memburu Nabi Musa a.s. ketika beliau a.s. membawa keluar 60,000 Bani Israel keluar dari bumi Mesir dan kemudian mati tenggelam di Laut Merah. Lihatlah gambar di atas. Menakjubkan. Di antara 9 mumia tersebut, dialah yang paling sempurna.

jika ke Mesir jangan lupa ‘jumpa’ Ramses II. Memang menarik. Rambutnya masih ada. Raut mukanya nampak sempurna. Telinga dia. Hidung dia. jari dia; masih ada jalur-jalur. Semuanya nampak hebat. Ini janji Allah. “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terselamat dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar)….”

Firaun adalah gelaran kepada raja Mesir. Semua Firaun mengaku diri mereka tuhan. Tetapi Ramses II tidak begitu. Dia mendakwa dirinya ‘akulah tuhanmu yang paling agung’ (An-Naziaat: 24). Dia juga berkata kepada kaumnya ‘Wahai kaumku! bukankah kerajaan negeri Mesir ini, aku yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya?’ (Az-Zuhruf: 51).

Ramses II adalah seorang lelaki yang cukup sempurna. Tampan bergaya. Gagah perkasa. Kaya raya. Ada karisma. Mampu menakutkan musuhnya. Sihat wal afiat. Tidak pernah demam. Tidak pernah bersin. Dia dan Firaun yang mengambil Nabi Musa a.s. sebagai anak angkat; ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka adalah orang yang sama dan ada yang mengatakan mereka adalah dua orang yang berbeza. Tapi zalim yang tidak ada had. Kesudahannya hanya seperti dalam gambar di atas.

Ketika Bani Israel buntu, tidak jumpa cara untuk keluar dari penindasan Firaun, Allah menyelesaikan kebuntuan itu dengan cara yang cukup menakjubkan. Firaun memelihara orang yang akan mengalahkannya di dalam istananya sendiri. Ketika diburu dan terperangkap di pantai Laut Merah, sekali lagi Allah menyelesaikan kebuntuan itu dengan membelah Laut Merah. Selain dari itu banyak lagi kisah-kisah menarik berkenaan pertembungan Nabi Musa a.s. dan Firaun. Ini semua adalah kisah-kisah yang sepatutnya kita kenang kembali di hari 10 Muharram.

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; Dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul kami. Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; Sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.” (Al-Qosos: 5-8)

Moga kita semua dapat menjalani ibadah puasa Asyura’ dan mengambil iktibar dari kisahnya dalam menentang ayat-ayat Allah.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s