Saiyid Ali Nurul Alam


Saiyid Ali Nurul Alam

ILUSTRASI wajah Sunan Gunung Jati bin Sultan Umdatullah bin Saiyid Ali Nur Alam.

Saudara kandung Saiyid Ibrahim al-Hadhrami/Ibrahim al-Ghozi/Ibrahim Asmoro/Sunan Nggesik yang ketiga ialah Saiyid Ali Nurul Alam.

Saiyid Nurul Alam ini riwayatnya sangat panjang, di samping sejarah yang nyata diselubungi pelbagai misteri. Contohnya, dikatakan Saiyid Ali Nur Alam wafat di Campa pada 1467 M dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Garak Ruwain (Binjal Lima). Binjal Lima dalam bahasa Melayu asli Patani disebut Binje Limo.

Riwayat lain pula mengatakan Syeikh Nurul Alam pernah memerintah negeri Mesir. Riwayat lain mengatakan Saiyid Ali Nur Alam ialah Sultan Qunbul. Sementara itu, dalam satu lagi riwayat mengatakan bahawa beliaulah Aria Patih Gajah yang terkenal sebagai Perdana Menteri Majapahit itu.

Setelah penulis melakukan penyelidikan terhadap tokoh ini, terdapat beberapa nama beliau selain bernama Saiyid Ali Nurul Alam.

Namun, penulis belum berani menentukan kebenaran cerita itu kerana tidak cukup bukti sama ada membenarkan atau pun menyalahkannya.

Melalui beberapa orang anaknya menjadikan keturunannya yang sangat ramai. Ramai yang menjadi ulama dan tokoh dunia Melayu yang sangat terkenal.

Anak-anak Saiyid Ali Nurul Alam yang dapat dicatat di antaranya ialah;

nWan Abdullah atau Sultan Umdatuddin (Sultan Cam/Champa) atau Wan Abu atau Wan Bo Teri Teri.

*Wan Husein Sanawi.

*Wan Demali.

*Wan Hasan.

*Wan Jamal.

*Wan Biru.

*Wan Senik.

*Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Laqihi.

*Maulana Abu Ishaq.

Adapun melalui pertalian anak Saiyid Ali Nurul Alam yang bernama Wan Abdullah/Sultan Umdatullah (nombor 1), beliau juga dikenali sebagai Sultan Hud, Maulana Sultan Mahmud. Lebih ke atas dari itu kadang-kadang terdapat kelainan nama-nama antara versi Patani, Kemboja dan Banten tradisional dengan pengolahan salasilah setelah ada campur tangan oleh pengkaji yang datang kemudian.

Untuk perbandingan antara salasilah Saiyid Ibrahim Hadhrami al-Jarimi al-Yamani yang telah disebutkan, dengan Saiyid Ali Nur Alam di bawah ini penulis menyalin salasilah Syeikh Muhammad Ahyad, yang penulis salin dari tulisan Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juawi/Diwani, iaitu murid Syeikh Muhammad Ahyad.

Beliau ini memperoleh tiga orang anak yang menjadi tokoh terkenal, dengan melalui salasilah keturunan beliau sebagai berikut;

* Sultan Maulana Makhdum Jati, demikian tertulis dalam salasilah maksudnya adalah Sunan Gunung Jati atau Syarif Hidayatullah atau Falatihan.

* Sultan Hud, maksudnya Sultan Umdatullah atau Wan Abdullah.

* Sultan Bani Israil Sultan Banten.

* Saidina Jamadil Kubra.

* Saidina Jamadil Kabir.

* Saidina Zainul Kabir.

* Saidina Zainal Abidin.

* Saidina Husein

* Saidatina Fathimah.

* Saidina wa Nabiyina Muhammad s.a.w.

Salasilah di atas kemungkinan tersalah salin, ternyata ketinggalan beberapa nama yang umum diketahui oleh ahli sejarah.

Pada nombor 4 dan nombor 5 kemungkinan adalah orang yang sama. Kedua-duanya dalam salasilah Saiyid Ibrahim al-Hadhrami adalah Ahmad Syah Jalal. Perantaraan nama Saidina Zainul Kabir (nombor 6), kemungkinan Ahmad Syah Jalal, hingga ke atas terdapat 16 nama yang tidak disalin (untuk penjelasan yang lanjut, dirujuk kepada salasilah Syeikh Ibrahim al-Hadhrami al-Jarimi al-Yamani).

Dalam beberapa buku sejarah dicatatkan bahawa putera Sultan Umdatullah ada tiga orang iaitu;

1. Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati atau Falatihan.

2. Sultan Babullah, Sultan Ternate (1570-1583).

3. Maulana Abdul Muzaffar Ahmad.

Anak Sunan Gunung Jati (nombor 1) bin Sultan Umdatullah bin Saiyid Ali Nurul Alam ialah;

1. Maulana Sultan Hasanuddin, iaitulah Sultan Banten yang pertama (I) atau Sultan Habibullah Umar Imaduddin atau digelar dengan Pangeran Jaya Kelana, wafat tahun 1059 H/1649 M.

2. Muhammad Hasyim atau Pengeran Paserahan Kedua, makamnya di Gunung Jati.

3. Pangeran Paserahan Umdatuddin Husein, makamnya berdekatan dengan Gunung Jati.

Maulana Sultan Hasanuddin bin Sunan Gunung Jati bin Saiyid Ali
[UM]

Syarif Hidayatullah

Syarif Hidayatullah

Nur Alam memperoleh dua orang anak iaitu Maulana Sultan Yusuf (Sultan Banten II), wafat di Cerebon pada 1070 H/1659 M. Seorang lagi bernama Maulana Abdul Aziz, wafat pada 1061 H/1650 M di Cerebon.

Anak Maulana Sultan Yusuf bernama Sultan Muhammad. Anak Sultan Muhammad bernama Sultan Abdul Mafakhir. Seterusnya anak Sultan Abdul Mafakhir bernama Sultan Abdul Ma’ali Ahmad. Anak Sultan Abul Ma’ali Ahmad bernama Abdul Fattah atau Sultan Ageng Tirtayasa.

Beliau inilah sahabat dan ayah mertua Syeikh Yusuf Tajul Khalwati yang berasal dari Bugis yang sangat terkenal itu. Anak Sultan Ageng Tirtayasa bernama Abun Nasar Abdul Qahhar, yang terkenal dengan sebutan Sultan Haji.

Salasilah yang disebutkan di atas cukup panjang untuk dibicarakan. Selanjutnya dalam salasilah ini pula ada hubungkait dengan Kesultanan Brunei Darussalam hinggalah sultan yang memerintah sekarang, iaitu Sultan Hassanal Bolkiah.

Ulama-ulama yang berasal dari Banten pula ramai keturunan Ali Nurul Alam, dalam salasilah Syeikh Nawawi al-Bantani (Imam Nawawi ats-Tsani) dinyatakan namanya Ali Nuruddin. Ulama Banten itu adalah keturunan yang ke-14.

Ulama Banten yang sangat terkenal pula ialah Syeikh Abdul Karim bin Ki Bukhari, adalah keturunan yang ke-13 kerana beliau adalah ayah saudara sepupu bagi Syeikh Nawawi al-Bantani.

Salah seorang ulama keturunan Sunan Gunung Jati, dikatakan sebagai cucu beliau ialah Kiai Haji Muhammad Khalil al-Maduri atau lebih popular dengan sebutan Kiai Khalil saja.

Ulama ini sangat terkenal kerana daripada didikan beliau melahirkan ulama-ulama yang sangat terkenal di Indonesia di antaranya Kiai Haji Hasyim Asy’ari dan lain-lain.

Selanjutnya seorang ulama keturunan Sunan Gunung Jati awal kurun ke 20 yang mengajar di Masjidil Haram ialah Syeikh Muhammad Ahyad. Salasilah beliau seperti berikut;

1. Syeikh Muhammad Ahyad bin

2. Raden Angka Wijaya/Raden Jaka atau Haji Mu-hammad Idris bin

3. Tubagus Jaya Peraja atau Haji Abu Bakar bin

4. Tubagus Mustafa al-Bakri bin

5. Tubagus Abdul Qadir bin

6. Tubagus Lanang bin

7. Tubagus Antip bin

8. Tubagus Jaya bin

9. Tubagus Sa’ad bin

10. Pangeran Adung bin

11. Pangeran Suma Kusuma Ningrat bin

12. Pangeran Yuda Ningrat bin

13. Pangeran Bayum bin

14. Pangeran Gandi atau Pangeran Gazi bin

15. Pangeran Wangsa Pati bin

16. Pangeran Senapati bin

17. Pangeran Aria Kesumah bin

18. Pangeran Wangsa Pati

19. Pangeran Dipati Buana bin

20. Pangeran Pajajaran bin

21. Ratu Galuh bin

22. Sultan Maulana Yusuf bin

23. Sultan Maulana Hasanuddin bin

24. Sultan Maulana Makhdum Jati (Sunan Gunung Jati)

Keturunan Saiyid Ali Nurul Alam melalui cicitnya Muhammad Hasyim bin Sunan Gunung Jati bin Umdatuddin bin Saiyid Nurul Alam, bahawa beliau memperoleh lapan orang anak, iaitu:

1. Ahmad.

2. Abu Bakar.

3. Hasyim.

4. Alwi.

5. Abdus Salam.

6. Mas Dewi.

7. Puteri Aminah.

8. Mas Dewi Puteri Saidah Ratu Greng.

Keturunan Saiyid Ali Nurul Alam melalui cicitnya Umdatuddin Husein bin Sunan Gunung Jati bin Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam, bahawa beliau memperoleh dua orang orang, iaitu;

1. Syarifah Tolkah Ratu Mindo.

2. Syarifah Alawiyah Ratu Demang.

Pada tahun 1972 penulis bertemu dengan salah seorang keturunan Wan Husein Sanawi al-Fathani, iaitu Mokhtar, yang ketika itu sedang kuliah di Institut Agama Islam Negeri di Yogyakarta (IAIN).

Menurutnya, datuk neneknya masih ada kekeluargaan yang dekat dengan datuk nenek Syeikh Ahmad al-Fathani dan ulama-ulama Patani lainnya. Sebagaimana petunjuknya, pada 1976 penulis ke Duku, Pik Bong (Thailand) untuk menemui seorang ulama yang tertua di situ serta sangat mengetahui akan salasilah keluarga yang sedang dibicarakan itu.

Beliau ialah Tuan Guru Haji Abdul Hamid Duku bin al-Alim al-Allamah Haji Abdul Qadir (Tok Duku).

Sejak itu hingga tahun 1992, penulis kerap menemui beliau dan mencatat salasilah serta pelbagai sejarah yang tertakluk dengan keluarga besar keturunan penyebar-penyebar Islam yang ada hubungan dengan beliau.

Disimpulkan bahawa penyebar-penyebar Islam dalam keluarga besar ini adalah berasal dari dua tempat di Patani iaitu dari Kampung Jerim dan Kampung Sena. Semua mereka adalah berpunca dari satu, iaitu dari Hadhramaut keturunan ‘al-Aidrus’.

Mereka mengembara menyebarkan Islam di seluruh alam Melayu. Ada yang ke Kemboja, Jawa, Bugis, Borneo, Sumbawa, Aceh dan tempat-tempat lainnya.

Wan Husein pernah dilantik oleh Sunan Ampel iaitu saudara sepupunya sebagai wakil beliau menyebarkan Islam di Pulau Madura. Adapun Wan Husein bin Saiyid Ali Nur Alam dilahirkan di Kampung Sena, iaitu kampung yang dibuka lebih luas lagi oleh Faqih Wan Musa al-Fathani datuk nenek Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Antara Faqih Wan Musa al-Fathani dengan Wan Husein Sanawi adalah berasal daripada satu pertalian datuk nenek. Titik temu salasilah adalah pada Saiyid Jamaluddin al-Husein. Faqih Wan Musa adalah keturunan Saiyid Ibrahim al-Hadhrami dari sebelah perempuan dan Ali al-Laqihi dari pertalian lurus sebelah ayah ke datuk ke moyang dan seterusnya. Sedangkan Wan Husein dan Wan Muhammad Shalih adalah anak Sultan Qunbul @ Saiyid Ali Nur Alam.

Oleh itu, sekiranya diperhatikan salasilah ini bererti Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih adalah anak saudara Wan Husein Sanawi. Saiyid Ibrahim al-Hadhrami/Ibrahim al-Ghozi dan Saiyid Ali Nur Alam adik-beradik. Kemudian, ke bawahnya pula terjadi jalinan perkahwinan kekeluargaan beberapa kali.

Wan Husein sebelum membuka kawasan Telok Manok terlebih dulu mengembara ke beberapa tempat. Dari Kampung Sena, Patani terus ke Cam/Kemboja, terus ke Jawa. Beliau mengajar lama di Pulau Madura dan Pulau Sumbawa, kemudian kembali lagi ke Cam/Kemboja. Dan seterusnya membuka Kampung Telok Manok.

Sebuah masjid yang dibinanya masih ada sampai sekarang ini. Masjid Telok Manok itu termasuk salah sebuah masjid yang tertua di bekas Kerajaan Fathani Darus Salam yang masih wujud sampai sekarang.

Oleh kerana salasilah keturunan pada tokoh ulama ini dibicarakan panjang, maka penulisan ini akan berhenti setakat ini dan akan disambung semula di artikel yang lain, dengan melalui sambungan salasilah Wan Husein, yang membuka Kampung Telok Manok.

Tentang Saiyid Ali Nurul Alam

*Beliau juga dikenali dengan sebagai Syeikh Ali al-Masyhur al-Laqihi, Syeikh Ali al-Laqihi, Ali Nuruddin, Nurul Alim Ali,Ali Nurul Alim, S. Nurul Alam Siam dan Sultan Qunbul.

*Saudara kandung kepada Saiyid Ibrahim al-Hadhrami/Ibrahim al-Ghozi/Ibrahim Asmoro/Sunan Nggesik

*Ulama-ulama yang berasal dari Banten, ramai daripada keturunan Ali Nurul Alam.

*Wafat di Campa pada 1467 M dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Garak Ruwain (Binjal Lima)

One response to “Saiyid Ali Nurul Alam

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s