Epistemologi Ahlis-Sunnah Wal-Jama’ah dan Kepentingannya Dalam Pembinaan Tamadun


Epistemologi Ahlis-Sunnah Wal-Jama’ah dan Kepentingannya Dalam Pembinaan Tamadun

Pendahuluan

bullet

Yang dimaksudkan dengan “epistemology” atau faham ilmu, atau falsafah ilmu ialah teori tentang ilmu pengetahuan, keadaannya, dasar-dasarnya, batasan-batasannya, dan kesahihannya.
bullet

Yang dimaksudkan ilmu itu – antaranya pada al-Baqillani rh dalam at-Tamhidnya pada bahagian awalnya – ialah mengenali apa yang dimaklumi itu mengikut keadaan hakikatnya yang sebenarnya. (“ma’rifatul-ma’lum bima huwa bihi”).
bullet

Para ‘ulama usul al-din Ahlis-Sunnah mentarafkan peringkat mengenali itu sebagai peringkat tertinggi, iaitu mengenali apa yang diketahui dengan sebenarnya, dengan yakin berdasarkan kepada dalil. Ianya melebihi sangkaan yang kuat (zann), syak (sama banyak antara yang ya atau tidak), sangkaan yang lemah (waham), kejahilan semata (al-jahl), dan jahil yang bersusun (jahil al-murakkab), iaitu tidak disedari iaya jahil, disangkanya dirinya mengetahui sebenarnya. Ianya mesti dengan dalil dan yakin; tanpa dalil dan yakin tidak dipanggil ilmu atau ma’rifah.
bullet

Yang dimaksudkan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah ialah ajaran dan amalan yang berasal daripada Nabi s.a.w. dan para Sahabatnya sebagaimana yang ternyata daripada hadith yang menyebut umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, yang selamat hanya satu, iaitu mereka yang dipanggil sebagai jemaah yang selamat dan benar, yang berpegang kepada dasar hidup nabi dan para Sahabatnya, mereka itulah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.
bullet

Dasar dan amalan inilah yang kemudiannya berkembang di kalangan para ulama Ahlis-Sunnah dalam pelbagai disiplin ilmu, yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh dalam bidang tafsir Quran, qiraat, hadith dan cawangan-cawangannya, usul al-din, fiqh, usul al-fiqh, akhlak dan tasawwuf, termasuk falsafahnya, demikian seterusnya dengan pelbagai cawangan dan disiplin ilmu, antaranya sebagaimana yang dihuraikan dalam “al-Muqaddimah” oleh ‘Abd al-Rahman ibn Khaldun rh antara lainnya. (c.f. Osman Bakar, The Classification of Knowledge).
bullet

‘Abd al-Qahir al-Baghdadi rh membahagikan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dalam bahagian yang kemudian dalam kitabnya al-Farq bainal-Firaq kepada beberapa bahagian mengikut disiplin ilmu dalam epistemologi Ahlis-Sunnah wal-jamaah seperti: ilmu al-kalam atau usul al-din, ilmu tafsir Quran dan qiraat, ilmu hadith dan cawangan-cawangannya, ilmu fiqh dan ahli-ahlinya (termasuk usul al-fiqhnya), ilmu sastera dan nahu sarafnya, ilmu lughahnya, ilmu tasawwuf dan para ahlinya. Termasuk ke dalam golongan mereka itu orang awam yang mengikut panduan ulama Ahlis-Sunnah wal-jamaah dan juga mereka yang menjaga sempadan negeri-negeri Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.

Cawangan-Cawangan Ilmu Ahlis-Sunnah Dan Ciri-Cirinya:

1. Ilmu Tafsir:

bullet

Berdasarkan kepada panduan-panduan ayat-ayat Quran
bullet

Panduan hadith-hadith
bullet

Huraian-huraian para ulama Ahlis-Sunnah yang muktabar dalam bidangnya seperti al-Baidawi, al-Nasafi, al-Jalalain, al-Khazin, al-Baghwi, Fakhrul-razi dan seterusnya; sampailah kepada para mufassirin zaman kemudian.

2. Ilmu Hadith:

bullet

Berdasarkan ilmu-ilmu hadith oleh para imam yang diakui seperti para pengumpul “kutub sittah” dan lainnya dan para pensyarah kitab-kitab mereka.
bullet

Huraian para ulama tentang mustalah al-hadith.
bullet

Huraian para ulama tentang “al-jarh wa ta’dil“.
bullet

Huraian para ulama tentang sejarah perkembangan hadith.

3. Ilmu usul al-din:

bullet

Berdasarkan kepada Quran, Sunnah, dan ijma’.
bullet

Berdasarkan kepada huraian para ulama Ahlis-Sunnah yang muktabar dalam bidang ini seperti Imam Abul-Hasan al-Ash’ari, al-Maturidi, al-Baghdadi, al-Baqillani, al-Nasafi, dan seterusnya dalam memberi huraian tentang Tuhan, para nabi, malaikat, kitab samawi, akhirat, dan qadha dan qadar.
bullet

Juga berdasarkan kepada huraian mereka yang menolak Mu’tazilah, Jabariah, Qadariah, Murji’ah, Khawarij, Batiniah, dan Syiah atau Rafidah.
bullet

Semuanya perlu diketahui dengan jelas dan simpati supaya akidah Ahlis-Sunnah dijadikan pegangan dan dihayati dan yang lain-lain dijadikan sempadan dan ditolak, samaada dalam bentuk lama atau baharu, klasik atau moden.
bullet

Yang moden yang perlu difahami dan ditolak seperti materialisme, sekularisme, dekonstruksinisme, pasca-modernisme dan seterusnya, iaitu mana-mana yang berlawanan dengan ciri-ciri pegangan Ahlis-Sunnah wal-jama’ah.
bullet

Mana-mana tulisan moden yang boleh membantu dalam memahami akidah ini boleh dimanafaatkan seperti tulisan-tulisan Dr. Zandani, juga pemikir-pemikir Barat seperti Fritjof Chapra antaranya dengan The Tao of Physicsnya antara lainnya.
bullet

Tulisan Dr. Iqbal seperti The Reconstruction of Religious Thought in Islam juga perlu difahami dengan jelas dan penuh simpati serta manafaat daripadanya perlu didapati, walaupun mungkin dalam beberapa perkara tentang pemikirannya kita berbeza dengannya.
bullet

Cabaran-cabaran terhadap pemikiran dan akidah Ahlis-Sunnah dalam penulisan semasa – termasuk apa yang ada dalam internet – perlu diberi respons yang tepat oleh para ulama dan sarjana Muslim dengan kerjasama mereka yang berwenang.
bullet

Nusantara atau Dunia Melayu Muslim mesti dikekalkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaahnya dengan ciri-cirinya demi untuk menjaga kesahihan akidahnya dan juga kestabilan intelektuil dan rohaninya sebagai asas yang kukuh bagi pembinaan tamadun dan budaya di rantau ini (selain daripada mengambil kira dan memanafaatkan perkembangan-perkembangan terbaharu dalam ilmu pengetahuan dan teknologi termasuk ICT).
bullet

Perlu dihadapi dengan cara berkesan fenomena pihak-pihak yang tertarik dengan pemikiran Syiah sehingga dianggap perlu menggantikan pemikiran dan akidah Ahlis-Sunnah di Dunia Melayu.
bullet

Juga perlu dihadapi dengan berkesan fenomena Kristianisasi dan yang sepertinya.

4. Ilmu Fiqh:

bullet

Ilmu berkenaan dengan detail-detail hukum Syara’ dalam Islam berdasarkan kepada Quran, Sunnah, Ijma’ mereka yang muktabar, dan Qias mereka yang berwenang. Juga istihsan, istislah, istishab dan seterusnya.
bullet

Berdasarkan kepada mazhab-mazhab yang diakui dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, dan kalau di Nusantara mazhab Imam Syafi’I rd dengan tambahan-tambahan dalam bentuk fatwa-fatwa dan keputusan-keputusan baharu yang diperlukan berdasarkan kepada kaedah-kaedah mazhab yang diakui.
bullet

Ini demi untuk menjaga kesahihan dalam perkembangan dan pengamalan hukum serta keseragaman dalam perlaksanaan hukum dan kesenangan dalam menguruskan kehidupan kolektif umat di rantau ini.
bullet

Perlu dihadapi fenomena pemikiran dan pemahaman tentang hukum yang terbebas daripada mazhab yang muktabar (aliran “al-lamadhhabiyyah”) kononnya kerana hendak “kembali kepada Quran dan Sunnah” sahaja, atau kerana “hendak menghapuskan sarang labah-labah yang berabad-abad itu” (the web of the centuries) dan sebagainya.
bullet

Perlu dihadapi fenomena memberi fatwa atau pendapat secara tidak mengikut adab dan ketertiban sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama muktabar tentang fatwa dan membuat keputusan hukum (‘istinbat’), mengeluarkan pendapat sendiri-sendiri, atau mengikut apa yang dipanggil sebagai ulama “haraki” dan ditolaknya yang “tidak haraki” sampai terjejas ciri-ciri sahih keputusan hukum dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah (c.f. teguran al-Hudaibi terhadap almarhum Maududi dalam hubungan dengan istilahnya yang empat yang menyalahi ijma’ Ahlis-Sunnah wal-jamaah; demikian pula teguran yang dibuat dalam hubungan dengan pemikiran almarhum Syed Qutb rh dengan penuh penghormatan kita kepada beliau yang sangat banyak berjasa itu).
bullet

Perlu dihadapi fenomena yang bercanggah dengan dasar “bertanyalah kepada ahli ilmu kalau kamu tidak mengetahui” yang tertingginya merujuk kepada para mujtahidin sebenarnya;
bullet

Juga fenomena yang bercanggah dengan pengajaran dalam hadith:

الدين النصيحة…لأئمة المسلمين…

Keceriaan yang murni dan sungguh-sungguh dalam hubungan dengan para ulama dan para pemimpin dalam kehidupan bermasyarakat sekaligus dengan mengamalkan adab-adab dan cara-cara berinteraksi dengan mereka sebagaimana yang ada dalam teks-teks Ahlis-Sunnah wal-jamaah.

5. Ilmu Akhlak dan Tasawwuf:

bullet

Keperluan kepada usaha merujuk dan mengambil panduan daripada sistem ilmu tasawwuf yang muktabar sebagaimana yang ada dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah seperti Imam al-Ghazali rd dan al-Qushairi rh serta al-Junaid al-Baghdadi rh dan lainnya serta teks-teks mereka dan perjalanan hidup mereka.
bullet

Keperluan mengelak daripada ciri-ciri yang tidak wajar dalam kefahaman sufiah dan amalan-amalannya, apa lagi yang bercanggah dengan hukum Syara’ dan ciri-ciri Batiniah yang sesat dan menyesatkan yang muncul atas nama tasawwuf atau ilmu hakikat yang palsu dan juga keperluan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul berkaitan dengannya.
bullet

Keperluan mengembalikan umat kepada “makarim al-akhlak” dengan pemusatan kepada sifat-sifat yang mulia dan utama serta mengikis sifat-sifat yang sebaliknya melalui ilmu pengetahuan yang berkenaan dan latihan-latihan akhlak dan adab amaliah dalam kehidupan harian.
bullet

Keperluan untuk menghalang dengan pelbagai cara yang mungkin melalui undang-undang, pendidikan, dan kawalan masyarakat, serta media peribadi-peribadi yang sesat daripada menyesatkan orang ramai melalui dakwaan-dakwaan palsu tentang kemampuan memberi kepimpinan rohaniah yang tinggi.

Beberapa Segi Epistemologi Sunni:

Antaranya ini boleh dilihat pada bab kelima al-Farq Bainal-Firaq: antara dasar-dasar atau “usul”nya ialah:

Rukun Yang Pertama

bullet

Yang disepakati di kalangan mereka rukun pertamanya mengithbatkan hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu yang mereka ijma’kan tetapnya ilmu-ilmu itu dengan makna-makna yang ada pada para ulama dan dianggap sesat mereka yang menafikan ilmu dan lain-lain sifat (a’rad) seperti yang berlaku pada golongan “Sophists” (ini boleh terkena pada pemikiran pascamodernisme) yang menafikan ilmu dan hakikat-hakikat benda-benda yang ada. Demikian pula sesatnya mereka yang menganggap semua pegangan dan kepercayaan sebagai sah walaupun yang saling berlawanan dan bercanggahan.
bullet

Ulama ahli Sunnah membahagikan ilmu manusia kepada yang bersifat badihiah, yang hissi, dan istidlali – mereka yang menafikan ilmu yang bersifat badihi dan hissi – melalui pengamatan pancaindera – sebagai golongan degil.
bullet

Mereka yang menafikan ilmu dari tilikan akal (al-nazar) dan istidlali (dengan mengambil dalil pemikiran), kalau ianya seperti golongan Sumniyah yang mengingkari penilikan akal dalam ilmu akliah ia kafir mulhid, seperti golongan dahriah atau materialist, yang berpegang kepada sediakalanya alam, penafian adanya Tuhan Pencipta alam, berserta dengan fahaman membatalkan semua agama-agama (dan ini juga menyentuh pemikiran pascamodernisme sekarang).
bullet

Kalau orang demikian berpegang kepada tilikan akal dalam ilmu akliah dan menolak kias dalam cawangan hukum Syara’ seperti mazhab Zahiriah, itu tidak membawa kepada kekufuran.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan pancaindera yang mengesani perkara-perkara zahir yang boleh dikesani olehnya (al-mahsusat) ialah pemandangan mata bagi mengesani apa yang boleh dilihat, perasa yang mengesani seperti rasa makanan, penciuman bagi mengesani bau, sentuhan bagi mengesani panas dan sejuk, basah dan kering, sifat lembut dan kasar.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan apa-apa yang dicapai melalui pancaindera ini berupa sebagai makna-makna (al-ma’ani) yang berdiri dengan alat-alat pancaindera itu. (Ilmu yang berpunca daripada pengesanan melalui pancaindera dan tilikan akal boleh diperpanjangkan dengan perlaksanaan kaedah saintifik, penyelidikan, dan pemikiran serta rumusan ilmu pengetahuan dan alat-alat kelengkapan yang diperlukan zaman sekarang sampailah kepada ICT dan seterusnya).
bullet

Mereka mengajarkan bahawa khabar berita yang mutawatir – yang sampai melalui punca yang terlalu banyak yang tidak memungkinkan salahnya – adalah jalan ilmu yang daruri – tidak boleh tidak – yang sah bila cukup syarat-syaratnya pada mereka. Termasuk ke dalam contoh ini ialah pengetahun kita tentang para nabi dan raja-raja sebelum kita dalam sejarah. Adapun sahnya penegasan tentang pangkat kenabian para anbiya itu maka itu sah melalui hujah-hujah nazariah atau tilikan akal. Maka dikirakan kafir mereka yang mengingkari ilmu dari kaedah atau jalan riwayat mutawatir.
bullet

Mereka memperincikan ciri-ciri riwayat yang mutawatir, yang mustafid, dan yang bersifat ahad, yang terakhir dengan periwayat seorang atau terlalu sedikit.
bullet

Berita ahad pada Ahlis-Sunnah bila sahih sandarannya dan matannya tidak mustahil pada akal, maka mesti diamalkan ajarannya. Dengan kaedah ini para ulama fiqh mensabitkan kebanyakan hukum Syariat dalam ibadat, mu’amalat, dan lain-lain bab haram dan halal.
bullet

Mereka menganggap sesat golongan-golongan yang menggugurkan wajib beramal dengan riwayat ahad seperti golongan Syiah Rafidah, Khawarij, dan lain-lain golongan yang mengikut hawa nafsu mereka.
bullet

Khabar mustafid adalah di tengah-tengah antara mutawatir dan ahad – mesti berilmu dengannya dan mesti beramal dengannya. Termasuk di bawah kaedah ini ialah ilmu tentang beberapa ma’jizat Nabi s.a.w. seperti terbelah bulan, bertasbihnya anak batu, meratapnya pelepah tamar, cukupnya makanan sedikit bagi orang ramai dan seterusnya.
bullet

Khabar mustafid banyak terdapat dalam hukum Syara’ seperti nisab zakat, had khamar, ilmu tentang menyapu dua kasut panjang, hukum rejam, dan yang sepertinya yang disepakati ulama fiqh tentang penerimaan terhadapnya; dianggap sesat mereka yang menyalahi mereka dalam hal ini seperti golongan Khawarij, yang mengingkari rejam.
bullet

Dan dikirakan kafir mereka yang mengingkari ru’ya atau memandang Allah di Syurga, Kolam nabi di akhirat, syafa’ah dan azab kubur.
bullet

Sabitnya Quran, zahirnya, dan mu’jizatnya yang menyebabkan ianya tidak boleh ditentang itu melalui riwayat mutawatir yang menjadikannya ilmu daruri.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Allah mentaklifkan para hambaNya mencapai ma’rifat terhadapNya, dan mereka diwajibkan tentangnya, juga mereka disuruh berma’rifat dalam hubungan dengan RasulNya, dan KitabNya, serta beramal dengan apa yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah nabiNya.
bullet

Dianggap kafir mereka yang menegaskan bahawa Allah tidak menyuruh ma’rifat seseorang itu, seperti yang diperpegangi oleh Thumamah, dan al-Jahiz, dan segolongan daripada Syiah Rafidah.
bullet

Mereka bersepakat bahawa usul Hukum Syariat ialah Quran, Sunnah, dan Ijma’ golongan Salaf.
bullet

Mereka anggap kafir pihak yang menegaskan – seperti golongan Syiah Rafidah – bahawa tidak ada hujah sekarang ini pada Quran dan Sunnah kerana pada dakwaan mereka para Sahabat telah mengubah sebahagian dari Quran itu dan melakukan “tahrif” pada setengah daripadanya.
bullet

Mereka anggap kafir golongan Khawarij yang menolak semua hadith-hadith Sunan yang dinukilkan oleh para periwayatnya oleh kerana mereka mengatakan para penukil hadith itu – termasuk Sahabat – menjadi kafir.
bullet

Mereka menganggap kafir al-Nazzam yang menolak hujah ijma’ dan hujah mutawatir, dan yang berpegang kepada harus berlakunya persepakatan umat Islam atas kesesatan dan kemungkinan berlaku pembohongan di kalangan mereka yang terlibat dalam riwayat yang mutawatir.

Tentang Rukun Yang Kedua.

bullet

Tentang baharunya alam ini, yang mereka sepakati ialah alam itu ialah sekelian yang selain dari Allah.
bullet

Maka sekelian yang lain dari Allah dan sifat-sifatNya yang azali adalah makhluk yang diciptakanNya.
bullet

Pencipta alam bukan makhluk, bukan dicipta, bukan dari jenis alam, bukan dari jenis sesuatu bahagian atau juzu’ alam.
bullet

Mereka bersepakat alam ini terdiri dari zat dan sifat (jauhar dan ‘arad).
bullet

Mereka mengajarkan tiap jauhar – iaitu atom – tidak boleh dibahagi (Sekarang ini ianya boleh dibahagi- proton, neutron, dan sebagainya, dengan entiti-entiti baharu seperti “quarks” dan seterusnya dalam fizik quantum).
bullet

Mereka mengajarkan adanya para malaikat, jin, dan syaitan-syaitan daripada makhluk-makhluk dalam alam.
bullet

Mereka aggapkan kafir mereka yang mengingkari ini semua seperti golongan ahli falsafah dan puak Batiniah.
bullet

Mereka menganggapkan sesat golongan yang mengajarkan fahaman serba-dua (al-thanawiyah) iaitu jisim terdiri daripada nur atau cahaya, dan zulmah atau kegelapan; yang baik daripada nur, yang jahat daripada zulmah.
bullet

Mereka bersepakat tentang baharunya ‘arad pada semua jisim-jisim, dan mereka menganggap tiap-tiap ‘arad itu baharu pada tempatnya ‘arad itu tidak berdiri sendirinya.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat tentang fananya seluruh alam ini dan mereka mengajarkan kekalnya syurga dan neraka, syurga dengan ni’matnya dan neraka dengan azabnya melalui jalan Syara’.
bullet

Mereka menganggap kafir golongan Jahmiah yang mengajarkan syurga dan neraka itu binasa.
bullet

Mereka menganggap kafir Abul-Hudhail yang berpendapat akan terputusnya ni’mat syurga dan azab neraka;

Rukun Ketiga Berkenaan Dengan Pencipta Alam.

bullet

Semua peristiwa yang berlaku mesti ada yang melakukannya dan yang menjadikannya.
bullet

Ahlis-Sunnah menganggap kafir Thumamah dan pengikutnya dari golongan Qadariah yang mengajarkan bahawa perbuatan-perbuatan itu timbul sendiri – al-mutawallidah – tanpa pembuatnya. Mereka mengajarkan Pencipta alam hanya menjadikan jisim-jism dan ‘arad sahaja, bukan perbuatan-perbuatan.
bullet

Mereka menganggap kafir Ma’mar dan para pengikutnya dari golongan Qadariah yang mengajarkan Allah tidak menciptakan sesuatupun daripada ‘arad-‘arad yakni sifat-sifat yang ada pada jisim-jisim. Ia hanya menjadikan jisim-jisim sahaja. Jisim-jisimlah yang menjadikan ‘arad-‘arad sendirinya.
bullet

Golongan pelampau atau ghulat dari kalangan Syiah Rafidah mengajarkan bahawa ‘Ali adalah jauhar makhluk, yang baharu dijadikan, kemudian ia menjadi Tuhan Pencipta Alam dengan meresap masuk – hulul – roh Tuhan ke dalamnya. Mereka ini mengajarkan Tuhan tidak ada kesudahan dan hadNya.
bullet

Hasyim bin Hakam al-Rafidi mengajarkan Tuhan yang disembahnya tujuh jengkal dengan jengkalnya sendiri.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan mustahil Tuhan itu ada rupa bentuk dan anggota, khilaf bagi golongan ghulat Rafidah dan para pengikut Daud al-Hawari yang mengajarkan bahawa Tuhan ada, mempunyai rupa bentuk seperti rupa manusia.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat mengajarkan bahawa Tuhan tidak dikandung ruang atau tempat, dan tidak berlalu atasNya perjalanan masa; ini berlawanan dengan pegangan kaum Syihamiyah dan Karramiyah yang mengajarkan bahawa Tuhan bersentuh dengan ‘Arasy.
bullet

Dinukilkan oleh Ahlis-Sunnah bahawa baginda ‘Ali rd menyataan bahawa Allah menjadikan ‘Arasy bagi menzahirkan QudratNya, bukan bagi menjadi tempat untuk ZatNya (izharan li-Qudratihi la makanan li Dhatihi). Katanya lagi: Telah ada Ia dan tiada tempat (bagiNya), dan Ia sekarang sebagaimana telah adaNya dahulu.
bullet

Ahlis-Sunnah menafikan adanya kecelaan, kesahan, dan kesakitan pada Tuhan. Mereka menafikan gerak dan diam padaNya. Ini berlawanan dengan Syiah Rafidah yang mengajarkan bahawa tempatNya baharu menjadi daripada gerakNya.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Allah Maha Kaya tidak memerlukan pertolongan makhlukNya, dan Ia tidak mendapat manafaat daripada makhlukNya untuk DiriNya, dan Ia tidak menolak kemudaratan dariNya melalui makhlukNya. Ini berlawanan dengan dakwaan para Majusi yang mengajarkan bahawa Allah menjadikan para malaikat untuk menolak kesakitan daripada Syaitan terhadapNya.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Pencipta Alam adalah Esa. Ini berlawanan dengan Majusi yang mengajarkan ada dua yang kadim, iaitu Nur dan Zulmah.
bullet

Ini juga berlawanan dengan Rafidah yang mengajarkan bahawa Allah menyerahkan tadbiran alam kepada ‘Ali, ialah Pencipta Yang Kedua (al-Khaliq al-Thani).

Berkenaan Dengan Rukun Yang Keempat.

bullet

Berkenaan Dengan Sifat-Sifat Allah: IlmuNya, QudratNya, HayatNya, IradatNya, Sama’Nya, BasarNya, dan KalamNya, yang semuanya Sifat-Sifat Yang Azali dan Kekal.
bullet

Mu’tazilah menafikan semua Sifat-Sifat Azali bagi Allah: mereka mengajarkan tidak ada bagi Allah sifat Qudrat, Ilmu, Hayat, Basar, dan tidak ada PencapaianNya bagi semua yang boleh didengar.Mereka mensabitkan bagiNya kalam yang baharu.
bullet

Kata Ahlis-Sunnah: menafikan sifat bermakna menafikan apa yang disifatkan, sebagaimana menafikan perbuatan bermakna menafikan pembuat.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat Kuasa Allah berlaku atas semua yang ditakdirkan, dengan QudratNya yang satu. Dengan Qudrat yang satu berlaku semua yang ditakdirkan.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Ilmu Allah adalah satu dengan Ilmu itulah Ia mengetahui semua maklumat secara terperinci tanpa pancaindera, cara badihiah, dan mengambil dalil.
bullet

Kaum Rafidah di kalangan Syiah mengajarkan Allah tidak mengetahui sesuatu sebelum jadinya.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Sifat Basar dan Sama’ Allah meliputi semua yang boleh dilihat dan didengar dan Allah berterusan melihat DiriNya dan Mendengar KalamNya.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Allah boleh dilihat oleh orang mukmin di akhirat. Mereka berpendapat harus melihatNya dalam tiap-tiap hal dan bagi tiap-tiap yang hidup melalui jalan akal. Dari mereka mengajarkan wajib orang mu’min melihatnya secara khusus di akhirat melalui jalan khabar dalam nas. Ini berlawanan dengan pendapat Qadariah dan Jahmiyah yang mengajarkan mustahil Ianya boleh dilihat.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Kehendak Allah – Iradat dan Masyi’ahNya – tertakluk atas segala perkara.
bullet

Mereka mengajarkan bahawa tidak ada yang berlaku dalam alam melainkan dengan KehendakNya, apa yang dikehendakiNya jadi, apa yang tidak dikehendakiNya, tidak menjadi.
bullet

Golongan Qadariah Basrah berpendapat ada Allah kehendaki apa yang tidak menjadi, dan ada yang menjadi apa yang tidak dikehendakiNya.
bullet

Ahlis-Sunnah bersepakat Hayat Tuhan tanpa roh dan makanan; dan semua arwah adalah makhluk. Ini berlawanan dengan Nasrani yang mendakwa sediakalanya bapa, anak dan roh (dalam tiga oknum mereka).
bullet

Mereka bersepakat bahawa kalamullah adalah SifatNya yang azali, dan itu bukan makhluk, bukan baharu.

Rukun Yang Kelima Berkenaan Dengan Nama-Nama Allah.

bullet

Nama-Nama Allah pada Ahlis-Sunnah adalah perkara tauqif, iaitu samaada ianya diambil daripada al-Quran atau Sunnah yang sahih atau ijma’ umat tentangnya; tidak dibolehkan qias tentangnya.
bullet

Berlawanan dengan pihak seperti Mu’tazilah Basrah yang membolehkan qias. Al-Jubba’I misalnya menyesatkan bila ia memberi nama Muti’ (yang taat) kepada Allah melalui jalan qias kerana katanya Allah memberi kehendak hambaNya.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan tentang adanya Sunnah yang menyebut nama Tuhyan sebanyak sembilan puluh sembilan, dan sesiapa yang membilang-bilangnya masuk syurga. Maksudnya bukan hanya menyebut dan membilang tetapi mempunyai ilmu tentangnya dan beriktikad tentang makna-maknanya.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa Nama-Nama Tuhan ada tiga bahagian: sebahagian yang menunjukkan ZatNya, seperti al-Wahid (Yang Esa), al-Ghani (Yang Maha Kaya), al-Awwal (Yang Kadim tanpa permulaan), al-Akhir (Yang Kekal tanpa kesudahan), al-Jalil (Yang Maha Hebat), al-Jamil (Yang Maha Indah), dan lain-lain yang Ia berhak bersifat dengannya.
bullet

Sebahagian lagi yang memaksudkan Sifat-SifatNya yang azali yang bersekali dengan ZatNya seperti al-Hayy (Yang Maha Hidup), al-Qadir (Yang Maha Berkuasa), al-‘Alim (YangMaha Mengetahui), al-Murid (Yang Maha Berkehendak), as-Sami’ (Yang Maha Mendengar), al-Basir (Yang Maha Melihat), dan lain-lain Nama daripada Sifat-Sifat Yang berdiri dengan ZatNya.
bullet

Sebahagian lagi Nama-Nama yang timbul daripada perbuatan-perbuatanNya seperti al-Khaliq (Yang menjadikan alam), ar-Razig (Yang Maha Mengurnia rezeki), al-‘Adil (Yang Maha Adil), dan yang sepertinya.
bullet

Bagi golongan pascamodernis yang menolah naratif agung- akidah seperti ini dalam agama – dan golongan materialis, ini semua tertolak sebagai bahan-bahan tanpa makna yang tidak perlu diambil kira. Ini perlu diberi respons dan perlu dihadapi dengan berkesan).

Tentang Rukun Yang Keenam.

bullet

Tentang Keadilan Ilahi dan Hikmat KebijaksanaanNya. Mereka mengajarkan bahawa Allah menjadikan jisim-jisim dan ‘arad-arad yang baiknya dan yang buruknya semua sekali (kalau sekarang boleh dikatakan Ia menjadikan semua atom-atom, neutron-neutron, proton, elektron, quark-quark, serta lain-lainnya seperti yang ada ini semua, samaada dalam bentuk gelombang atau zarrah, dengan sifat-sifatnya semua sekali).
bullet

Bahawa Allah menjadikan usaha para hambaNya, tidak ada yang menjadikannya selain daripada Allah. Ini berlawanan dengan golongan Qadariah yang menegaskan Allah tidak menjadikan sesuatupun daripada usaha para hambaNya, dan berlawanan dengan golongan Jahmiyah yang mengajarkan bahawa hamba tidak melakukan usaha dan tidak berkuasa atas usaha mereka.
bullet

Pada Ahlis-Sunnah sesiapa yang berpegang kepada ajaran bahawa para hamba menjadikan usaha mereka, ia Qadariyah, syirik dengan Tuhannya, kerana mendakwa para hamba menjadikan seperti Tuhan mennjadikan ‘arad-‘arad seperti gerak-gerak dan diam dalam ilmu dan iradat, kata-kata dan suara.
bullet

Dan – mereka mengajarkan – sesiapa yang menegaskan bahawa hamba tidak ada upaya untuk berusaha, ia tidak melakukan amal, serta tidak melakukan usaha, maka ia Jabariyah. Sesiapa yang berpegang kepada ajaran bahawa hamba berusaha bagi amalnya dan Allah pencipta usahanya, maka ia Ahlis-Sunnah.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa hidayah adalah dari Allah dari dua segi: iaitu segi menerangkan yang benar dan menyeru kepadanya, serta membentangkan hujah-hujah dan dalil untuknya. Dari segi in maka sah dinisbahkan hidayah kepada para Rasul a.s.s dan da’I kepada agama Allah kerana mereka memberi panduan yang benar kepada Allah. Ini penafsiran terhadap ayat yang bermaksud “Sesungguhnya tuan hamba menyeru kepada Jalan Yang Lurus” (Surah al-Shura: ayat 52).
bullet

Segi keduanya: hidayah pertunjuk Allah terhadap para hambaNya dalam erti menjadikan bimbingan hidayat dalam hati para hamba sebagaimana yang ada dalam ayat yang bermaksud “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat kepadanya, ia membukakan dadanya bagi menerima agama Islam, dan sesiapa yang Ia kehendaki supaya dibiarkan dalam kesesatan Ia menjadikan dadanya sempit…” (Surah al-An’am: ayat 126). Hidayat dalam aspek ini hanya Allah sahaja yang berkuasa melakukannya.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa sesiapa yang mati maka itu kerana ajalnya, dan Allah Maha Kuasa untuk memanjangkan umurnya.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajar tentang rezeki iaitu sesiapa yang makan atau meminum sesuatu itu rezekinya, samaada halal atau haram, itu berlawanan dengan golongan Qadariah yang menegaskan bahawa manusia kadang-kadang makan apa yang bukan rezeki baginya.

Tentang Rukun Yang Ketujuh Berkenaan Dengan Kenabian dan Kerasulan.

bullet

Mereka mengajarkan hakikat adanya kenabian dan kerasulan serta mereka menegaskan kebenaran adanya para Rasul a.s.s yang diutuskan Allah kepada para hambaNya. Ini berlawanan dengan ajaran Brahminisme (juga golongan materialis dan pascamodernis) yang menafikan itu walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang menjadikan alam.
bullet

Ahlis-Sunnah membezakan antara Rasul dan Nabi. Nabi ialah setiap orang yang turun wahyu kepadanya dari Allah melalui malaikat dan ia diperkuatkan dengan mu’jizat-mu’jizat yang menyalahi adat. Rasul ia sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut serta dikhaskan baginya syariat yang baharu, ataupun atau ia datang memansukhkan sebahagian daripada syariat yang terdahulu daripadanya.
bullet

Ahlis-Sunnah menganggapkan kafir orang yang mengaku nabi samaada sebelum Islam seperti Zardasyt, dan Mazdak dan sebagainya, dan yang selepas Islam seperti Musailamah al-Kazzab, Sajah, dan seterusnya.
bullet

Ahlis-Sunnah menganggap kafir golongan yang menisbahkan kenabian bagi imam-imam atau mengaku mereka itu Tuhan seperti golongan al-Bayaniah, al-Mansuriah, al-Khattabiyah, dan yang menjalani perjalanan mereka. (Termasuk ke dalam kategori ini golongan-golongan sesat yang mengaku Tuhan dalam diri mereka, atau pemimpin mereka menerima wahyu daripada Jibril, atau pemimpin mereka mi’raj, bersemayam atas ‘Arasy dan seterusnya, termasuk juga mereka yang mengaku adanya imam-imam maksum).
bullet

Mereka mengajarkan: para Nabi a.s.s lebih afdhal daripada para malaikat yang berlawanan dengan pendapat al-Husain bin al-Fadl berserta dengan kebanyakan daripada golongan Qadariah yang mengajarkan malaikat lebih utama daripada para Rasul a.s.s.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa para Nabi lebih afdal daripada aulia, ini berlawanan dengan mereka yang berpendapat para aulia lebih afdal daripada anbia.
bullet

Mereka mengajarkan para nabi maksum iaitu bersih daripada dosa. Ini berlawanan dengan pegangan golongan Hisyamiah daripada firkah Syiah Rafidah yang berpegang kepada pendapat para nabi boleh berdosa tetapi mereka mengajarkan bahawa para imam itu maksum bersih daripada dosa.

Rukun Yang Kelapan, Tentang Mu’jizat Dan Karamah.

bullet

Mereka mengajarkan bahawa mu’jizat ialah perkara zahir yang menyalahi adat timbul pada seseorang nabi dalam menghadapi kaumnya dan kaumnya lemah untuk menghadapinya, dan ini membenarkan dakwaannya sebagai nabi; maka wajib ditaati nabi yang demikian.
bullet

Mereka mengajarkan harus zahirnya kekeramatan dari para aulia yang menunjukkan benarnya hal mereka itu.
bullet

Golongan Qadariah mengingkari adanya karmah aulia kerana mereka tidak mendapati orang yang mempunyai karamah dalam golongan mereka.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan Quran ada mu’jizatnya dalam bentuk susunannya; ini berlawanan dengan pendapat Qdariah, seperti an-Nazzam, yang menyatakan bahawa tidak ada mu’jizat dalam susunan sistem al-Quran.
bullet

Mereka mengajarkan ada mu’jizat Nabi Muhammad s.a.w. dalam bentuk terbelahnya bulan, bertasbihnya anak batu di tangannya, keluarnya air di celah-celah jarinya, memadainya makanan sedikit untuk orang yang sedemikian ramai, dan yang sepertinya. Golongan Qadariah seperti al-Nazzam mengingkari yang demikian itu.

Berkenaan Dengan Rukun Kesembilan Tentang Syariat Islam Dan Rukun-Rukunnya.

bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa Islam terdiri daripada lima rukun, iaitu syahadah, perlaksanaan sembahyang lima waktu, pembayaran zakat, puasa Ramadhan, dan ibadat haji ke Baitullahil-Haram.
bullet

Mereka mengajarkan sesiapa yang menggugurkan sesuatu rukun yang wajib daripada yang lima ini dan mentakwilkannya seperti yang dilakukan oleh golongan al-Mansuriah, dan al-Janahiah dari golongan ghulat Syiah Rafidah, maka ia kafir. (Ini sama seperti setengah golongan sesat yang menggugurkan wajib sembahyang kononnya kerana makam rohani yang tinggi yang dicapai oleh mereka).
bullet

Mereka mengajarkan sembahyang lima waktu, dan mereka menganggap kafir orang yang menggugurkan setengah daripadanya, seperti Musalamah al-Kazzab yang menggugurkan wajibnya sembahyang Subuh dan Maghrib; ia menggugurkannya itu sebagai mahar bagi perkahwinannya dengan isterinya Sajah yang juga mengaku nabi; maka ia menjadi kafir mulhid. (Ini sama dalam setengah perkara dengan golongan semasa yang mengajarkan sembahyang itu bukan lima waktu, dan caranya bukan seperti yang biasa diamalkan Ahlis-Sunnah, kerana golongan ini mahu berpegang kepada Quran sahaja mengikut tafsiran sendiri bukannya mengikut sistem ilmu atau epistemologi Sunni).
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan wajib sembahyang Jumaat dan mereka menganggap kafir golongan Khawarij dan Syiah Rafidah yang mengajarkan tidak ada sembahyang Jumuat sehingga zahir imam mereka yang mereka sedang nanti-nantikan. (Maka tidak benar ajaran yang membolehkan orang-orang bersuluk tidak sembahyang Jumaat dengan alasan bersuluk, kerana dikatakan penyakit hati yang memerlukan suluk lebih besar daripada penyakit badaniah yang membolehkan orang mukallaf meninggalkan sembahyang Jumaat).
bullet

Ahlis-Sunnah mewajibkan zakat emas dan perak, wang, lembu kerbau, biji-bijian, makanan utama seperti tamar dan seterusnya, dan sesiapa yang mengatakan tidak wajib zakat dalam perkara-perkara tersebut, ia menjadi kafiir. Dijauhkan Allah.
bullet

Mereka mengajarkan wajib puasa pada bulan Ramadhan bila masuk bulan Ramadhan dengan ru’yah.
bullet

Mereka anggapkan sesat Rafidah yang berpuasa sebelum kelihatan anak bulan sehari dan berbuka sehari sebelum dibolehkan berbuka.
bullet

Mereka mengajarkan wajib menunaikan haji sekali seumur hidup bila seseorang itu ada kemampuan melakukannya dan aman jalannya.
bullet

Mereka menganggap kafir golongan yang mengatakan tidak wajib ibadat haji seperti golongan Batiniah. Tetapi mereka tidak menganggap kafir pihak yang mengatakan umrah tidak wajib kerana ada khilaf antara imam-imam tentang wajibnya.
bullet

Mereka mengajarkan syarat-syarat sah sembahyang yang terdiri daripada menutup aurat, masuk waktunya, mengadap kiblat, setakat yang mungkin.
bullet

Sesiapa yang menggugurkan syarat-syarat ini atau sesuatu daripadanya walhal itu mungkin dilakukan maka ia kafir.
bullet

Mereka mengajarkan bahawa jihad menghadapi para seteru Islam adalah wajib sehingga mereka tunduk dalam Islam, atau menunaikan jizyah.
bullet

Mereka mengajarkan harus berjual beli dan haram riba.
bullet

Mereka menganggap sesat golongan yang mengharuskan riba kesemuanya.
bullet

Mereka mengharuskan nikah dan mengharamkan zina; mereka menganggapkan kafir golongan al-Mu’badiyah dan al-Mahmarah dan al-Khurramiyah yang mengharuskan zina. (Ini menyentuh golongan yang mengamalkan ‘nikah batin’ dalam kalangan golongan sesat yang mengajarkan ‘ilmu hakikat’).
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan wajib dilaksanakan hukum-hukum had atas zina, perbuatan meminum arak, mencuri, dan menuduh zina.
bullet

Mereka anggap kafir golongan yang mengatakan tidak wajib had kerana minum arak, dan hukum rejam kerana zina seperti golongan Khawarij.
bullet

Mereka mengajarkan bahawa punca-punca Syariah ialah al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Salaf.
bullet

Mereka anggap kafir golongan Khawarij yang menolak hujah-hujah ijma’ dan sunah-sunah, juga mereka anggap kafir golongan Syiah Rafidah yang mengajarkan tidak ada hujah dalam semua perkara tersebut. Yang menjadi hujah hanya ajaran imam ghaib yang mereka sedang nanti-nantikan.

Rukun Yang Kesepuluh Suruh dan Tegah Dalam Syara’.

bullet

Mereka mengajarkan bahawa perbuatan orang-orang mukallaf terbahagi kepada lima bahagian, iaitu yang wajib, haram, sunat, makruh, dan harus. (Diikuti dengan definisi-definisinya).

Rukun Kesebelas Berkenaan Dengan Hilangnya Para hamba dan hukum mereka di Akhirat.

bullet

Mereka mengajarkan Allah berkuasa membinasakan seluruh alam dan membinasakan setengah jisim dan mengekalkan yang lainnya.
bullet

Mereka mengajarkan bahawa Allah akan mengembalikan semula hayat manusia dan makhluk-makhluk lainnya yang mati di dunia, ini berlawanan dengan golongan yang mengatakan bahawa Allah menghidupkan semula manusia sahaja tidak yang lain-lainnya.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa Syurga dan Neraka adalah makhluk yang dijadikan, berlawanan dengan pendapat golongan yang mengatakan bahawa kedua-duanyua bukan makhluk.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa ni’mat Syurga kekal dan azab Neraka kekal atas ahli-ahlinya yang terdiri daripada mereka yang tidak membawa iman dan yang munafik. Ini berlawanan dengan pegangan mereka yang mengatakan bahawa Syurga dan Neraka tidak kekal, akan fana.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan yang kekal dalam neraka ialah mereka yang tidak membawa iman, berlawanan dengan pendapat Khawarij dan Qadariah yang mengajarkan kekal di dalamnya tiap-tiap orang yang masuk ke dalamnya.
bullet

Mereka mengajarkan golongan Qadariah dan Khawarij – yang telah dijelaskan sifat-sifatnya – kekal dalam Neraka. Dijauhkan Allah.
bullet

Mereka mengajarkan tetap ada soal dalam kubur dan ada fitnah dan azab di dalamnya bagi mereka yang berkenaan. Mereka memutuskan bahawa mereka yang mengingkari azab kubur akan diazabkan di dalamnya.
bullet

Mereka mengajarkan adanya Kolam Nabi, Sirat, dan Mizan.
bullet

Mereka mengajarkan adanya syafaat dari Nabi s.a.w. dan daripada mereka yang salih dari umatnya bagi mereka yang berdosa di kalangan Muslimin dan orang yang ada sebesar zarah iman dalam kalbunya. Mereka yang mengingkari syafaat tidak akan mendapat syafaat.

Rukun Kedua Belas Berkenaan Dengan Kilafah dan Imamah.

bullet

Imamah, atau khilafah wajib atas umat Islam supaya pihaknya menjalankan hukum dan amanah-amanah, menjaga dan menguatkan kubu-kubu pertahanan, serta menghantar tentera jihad, membahagi-bahagikan fay’ – iaitu harta yang didapati bukan melalui peperangan, dan menyelesaikan masalah penzaliman ke atas mereka yang dizalimi.
bullet

Diikuti dengan syarat-syarat imamah: ilmu, keadilan, bangsa Quraisy.

Rukun Ketiga Belas Berkenaan dengan Iman, Islam.

bullet

Mereka mengajarkan asal iman ialah ma’rifah, tasdiq (pembenaran) dengan hati.
bullet

Mereka mengajarkan wajib taat dalam perkara yang wajib dan sunat dalam perkara yang sunat.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan keimanan tidak hilang dengan berlakunya dosa, tetapi hilang dengan berlakunya kekufuran. Dijauhkan Allah. Orang yang berdosa dia mu’min, bukan kafir, walaupun ia menjadi fasik kerana dosanya.
bullet

Ahli Sunnah mengajarkan tidak halal membunuh orang mu’min melainkan kerana salah suatu daripada yang tiga: murtad, zina selepas kahwin, atau hukum qisas kerana orang itu membunuh orang.
bullet

Ini berlawanan dengan golongan Khawarij yang mengharuskan bunuh tiap-tiap orang yang melakukan maksiat.

Rukun Keempat Belas Berkenaan Dengan Para Wali dan Imam-Imam.

bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan para malaikat maksum daripada semua dosa berdasarkan ayat yang bermaksud: ”Mereka tidak derhaka terhadap Allah tentang perkara yang diperintahkan kepada mereka dan mereka lakukan apa yang disuruh” (Surah at-Tahrim: ayat 6).
bullet

Kebanyakan mereka dalam Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa para nabi a.s.s. melebihi kedudukan para malaikat, berlainan daripada mereka yang menyatakan bahawa para malaikat melebihi kedudukan para nabi. Pendapat ini menyebabkan pegangan bahawa malaikat Zabaniah penjaga Neraka itu melebihi kedudukan ulul-‘azmi di kalangan para rasul.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan: para nabi melebihi para wali, ini berlawanan dengan golongan Karramiah yang mengajarkan para wali melebihi nabi.
bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan: keutamaan sepuluh orang Sahabat yang diputuskan oleh Nabi bahawa mereka ahli syurga terdiri daripada empat khalifah, kemudian Talhah, Zubair, Sa’ad bin Abi Waqqas, Sa’id bin Zaid, dan ‘Abd al-rahman bin ‘Auf, dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Allah meredhai mereka.
bullet

Mereka mengajarkan: terutamanya mereka yang menjadi ahli perang Badar berserta dengan Nabi dan diputuskan bahawa mereka ahli Syurga (Ini semua berlawanan dengan golongan yang mengkritik dan mencela para sahabat terdiri daripada golongan Syiah Rafidah dan lainnya, dan juga pengarang-pengarang moden yang suka mengkritik para Sahabat dan melanggar adab-adab dalam hubungan dengan mereka, yang pembelaan tentang mereka itu banyak dibuat oleh Qadi ‘Iyad rh dalam kitabnya al-Shifa).

Rukun Yang Kelima Belas Berkenaan Dengan Hukum Tentang Para Musuh Islam.

bullet

Ahlis-Sunnah mengajarkan: Para musuhnya ada dua: yang sebelum Islam dan yang lahir zaman Islam dan yang menunjukkan secara zahirnya mereka Orang Islam.
bullet

Mereka yang sebelum Islam terdiri daripada pelbagai golongan: para penyembah berhala dan patung;
bullet

Yang mengikut aliran hululiah yang mengajarkan roh Tuhan masuk meresap dalam bentuk-bentuk yang cantik; para penyembah matahari, bulan, bintang-bintang semuanya atau setengah daripadanya;
bullet

Yang menyembah malaikat dan memanggilnya sebagai anak-anak perempuan Allah; yang menyembah Syaitan (menyentuh “satanic cult” sekarang); menyembah lembu; menyembah api;
bullet

Pada Ahlis-Sunnah mereka yang menyembah berhala, manusia, dan malaikat, bintang, api, dan sebagainya haram berkahwin dengan wanita mereka.
bullet

Tentang jizyah boleh diterima daripada Ahlil-Kitab dan mereka yang ada sesuatu kitab seperti Ahlil-Kitab.
bullet

Mereka yang tidak membawa iman sebelum Islam: golongan “sophist” – as-sufista’iyah – yang mengingkari adanya hakikat ilmu, termasuk golongan al-Sumniyah yang mengajarkan alam ini kadim, dan mereka mengingkari tilikan akal dan pengambilan dalil dalam pemikiran, dengan dakwaan bahawa tidak ada yang boleh diketahui melainkan yang melalui pancaindera sahaja.
bullet

Termasuk golongan Materialist klasik – dahriyah – yang mengajarkan alam ini kadim.
bullet

Termasuk golongan yang mengajarkan kadim benda awal alam (hayula al-‘alam)
bullet

Termasuk golongan ahli falsafah yang mengajar alam ini kadim dan mereka menolak adanya Tuhan Maha Pencipta; antara, mereka ialah Pythagoras. (Antara ahli sains moden tidak sedikit yang materialist dan menolak adanya Tuhan dan alam rohani).
bullet

Muslimin bersepakat bahawa semua golongan tersebut tidak boleh dimakan sembelihan mereka dan wanita mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin. (Diikuti dengan pendetailan hukum tentang jizyah dari mereka, perkahwinan dengan wanita mereka dan sebagainya).
bullet

Tentang mereka yang tidak membawa iman dalam daulah Islam dan berselindung dengan zahir Islam mereka, dan memperdaya Muslimin secara rahasia: mereka ialah golongan Syiah ghulat rafidah al-Sababiah, al-Bayaniyah, al-Muqanna’iyyah, al-Mansuriah, al-janahiah, al-Khattabiyah, dan lainnya yang berpegang kepada mazhab hulul dan batiniah; juga mereka yang berpegang kepada tanasukh al-arwah – berpindah-pindahnya roh masuk ke dalam badan manusia – terdiri daripada para pengikut ibn Abil-Auja’ juga mereka yang mengikut ajaran Ahmad bin Ha’it dari golongan Mu’tazilah.
bullet

Juga termasuk: mereka yang berpegang kepada ajaran Yazidiah dari golongan Khawarij yang menegaskan bahawa Syariat Islam menjadi mansukh dengan adanya nabi dari golongan orang bukan Arab. Demikian seterusnya. (Termasuk ke dalam golongan ini mereka yang mendakwa Syariat Islam “tergantung” kerana Imam Mahadi belum datang; maka diharuskan oleh mereka itu zina, arak, dan sebagainya). Golongan ini semua tidak halal dimakan sembelihan mereka dan wanita mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin.
bullet

Ringkasnya Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa orang-orang yang menunjukkan amalan dan pegangannya dalam Ahlis-Sunnah ialah mereka yang bebas daripada amalan-amalan dan pegangan-pegangan golongan-golongan yang terkeluar daripada Islam, dan yang terdiri daripada mereka yang mengikut hawa nafsu, walaupun mereka dinisbahkan kepada Islam seperti Qadariah, Murjiah, Syiah Rafidah, Khawarij, Jahmiah, Najjariah dan Mujassimah.

Keperluan Kepada Ilmu-Ilmu Islam Lainnya:

bullet

Keperluan menyuburkan pendidikan melibatkan disiplin-disiplin ilmu Islam lainnya yang difikirkan perlu demi untuk membangun umat dan budaya dalam rangka pegangan dan amalan serta nilai-nilai dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah
bullet

Keperluan kepada ilmu-ilmu lainnya diberikan perspektifnya mengikut epistemologi Ahlis-Sunnah dan faham alamnya (iaitu Islamisasi ilmu-ilmu sebagaimana yang dihuraikan oleh almarhum Prof. Ismail al-Faruqi).

Keperluan Nusantara atau Dunia Melayu Kepada Empat Wacana Agung Sunni:

Secara ringkasnya Dunia Melayu Sunni sehingga kini ditentukan sifat-sifatnya oleh beberapa ciri pokok:
#

* Akidahnya Ahlis-Sunnah wal-Jamaah berdasarkan kepada ajaran Imam Abul-Hasan al-Asy’ari rd – walaupun sekarang ada pihak yang mencabarnya dan hendak menggantikannya dengan sesuatu yang lain dengan pelbagai alasan bidaah dan sebagainya – ini perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan seperlunya samaada dalam hubungan dengan fahaman-fahaman klasik dan tradisional yang tidak benar atau aliran-aliran baharu moden yang perlu diberi huraiannya dalam perspektif.

#

Dari segi kefahaman tentang Hukum Syara’ dan perlaksanaannya ianya berpandukan kepada mazhab Syafi’i. Ini perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan seperlunya yang terdiri daripada keputusan-keputusan atau fatwa-fatwa baharu yang diperlukan kerana perkembangan masa dan budaya.
#

Dari segi kerohanian dan akhlak rantau ini dipandukan oleh huraian-huraian Imam al-Ghazali rd, khususnya mengikut ajarannya yang ada dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din nya. Kepentingannya sedemikian rupa sehingga bila ditanya kepada almarhum Syaikh Muhammad ‘Abduh tentang buku yang terbaik untuk panduan generasi muda dalam bidang akhlah dan kerohanian maka dijawabnya kitab itu ialah kitab Ihya’ karangan Imam al-Ghazali rd. Maka kitab itu diringkaskan oleh al-Qasimi rh dalam buku Ma’izatul-Mu’mininnya. Ini perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan seperlunya dalam menghadapi masalah-masalah lama atau baharu.
#

Keempatnya, sangat ingin mengulangi usul saya, bahawa saya sangat berhasrat sedalam-dalamnya supaya wacana agung ibn Khaldun rh dalam kitabnya al-Muqaddimah – yang ada terjemahan Inggerisnya oleh Franz Rosenthal dan terjemahan Melayunya yang diselenggarakan oleh DBP – dijadikan wacana agung yang memberi panduan dalam perkembangunan intelektuil dan budaya Dunia Melayu di Nusantara. Ianya paling penting untuk pemerkasaan budaya dan tamadun apa lagi dalam menghadapi cabaran budaya ilmu, maklumat dan globalisasi sebagaimana yang dialami sekarang ini.

Epistemologi Sunni Dan Pembinaan Tamadun:

bullet

Peradaban yang hendak diteruskan pembinaannya ini ialah peradaban yang dipandukan oleh ajaran Islam aliran Ahlis-Sunnah wal-jamaah di kalangan manusia Dunia Melayu.
bullet

Ianya dengan mengambil kira faham alam Sunni – dengan huraian tentang Tuhannya, alamnya, manusianya, alam dengan isinya, termasuk alam sekitar dalam erti ekologi yang dibicarakan sekarang.
bullet

Dengan mengambil kira epistemologinya – dengan takrifnya, punca-puncanya, batasan-batasannya, bidang-bidangnya, kaedah-kaedahnya, matlamat-matlamatnya, samaada matlamat terakhir atau matlamat terdekat.
bullet

Mengambil kira aksiologi atau falsafah dan huraiannya tentang nilai-nilai unggul dan utamanya dan apa yang sebaliknya, serta cara-cara pemupukan yang utama dan pengikisan yang sebaliknya.
bullet

Mengambil kira sistem ilmu tradisionalnya, termasuk yang ada di Dunia Melayu, dan perkembangan-perkembangan ilmu terkini dalam sains dan teknologi, termasuk ICTnya, bioteknologinya (setakat yang difikirkan perlu).
bullet

Mengambil perhatian terhadap persoalan-persoalan ilmu yang timbul akibat perkembangan-perkembangan terkini dalam teknologi dan sains antaranya seperti yang disebutkan oleh Naisbitt dalam bukunya High Tech High Touch.
bullet

Memberi perhatian kepada pendaulatan Bahasa Melayu di rantau ini sebagai bahasa perantaraan dan bahasa budaya tinggi dan bahasa peradaban, selain daripada mengakui penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang ilmu dan hubungan antara bangsa yang diperlukan.
bullet

Memberi perhatian seberatnya terhadap persoalan membina dan menguatkan budaya berfikir dan budaya ilmu tinggi yang tergabung dengan hidup moral dan rohani sewajarnya demi untuk pemerkasaan budaya dan tamadun.
bullet

Mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memupuk kesedaran dan penerimaan terhadap gagasan perpaduan dan kerjasama bangsa Melayu dalam rangka membentuk kesepaduan sosial (al-‘asabiyah dalam takrif Ibn Khaldun rh) sebagai syarat dalam menjayakan budaya dan tamadun yang kuat dalam membentuk kehidupan bernegara dalam rantau dan negara yang di dalamnya terdapat pelbagai kaum dan budaya dalam membina tamadun bersama.

Wallahu a’lam.

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Kg Kasar

17000 Pasir Mas

Kelantan

One response to “Epistemologi Ahlis-Sunnah Wal-Jama’ah dan Kepentingannya Dalam Pembinaan Tamadun

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s