KARYA-KARYA ULAMA PATANI


KARYA-KARYA ULAMA PATANI

Posted

Oleh Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PENDAHULUAN
Dalam keluaran sebelumnya, telah diperkenalkan pelbagai karya ulama Patani dalam pelbagai disiplin ilmu yang menjadi rujukan seluruh nusantara. Kesinambungan itu, terdapat beberapa lagi karya tersebut yang juga tidak kurang pentingnya untuk dibicarakan.

Karya-karya tersebut adalah terjemahan dan Tafsir al-Quran, Ilmu Hadis, Ilmu Tajwid, Ilmu Nahu, Ilmu Saraf, Ilmu Balaghah, Ilmu Hisab dan Falak dan Ilmu Thib. Berikut diperjelaskan perinciannya.

* Terjemahan dan Tafsir Al-Quran

Terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu diusahakan oleh Sheikh ‘Abdur Rauf bin ‘Ali al-Fansuri. Namun tidak sempat diselesaikan lalu diselesaikan oleh murid beliau Baba Daud bin Agha Ismail al-Jawi bin Agha Mushthafa ar-Rumi.

Terjemahan dan tafsir tersebut diberi judul Turjumanul Mustafid atau lebih popular dinamakan Tafsir Baidhawi Melayu. Ulama Patani juga berperanan besar dalam memperkenalkan terjemahan dan tafsir tersebut kerana kitab ini pertama kali adalah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tashhih-tashhih kemudian dilakukan oleh dua murid Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani dan Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Sebuah lagi terjemahan dan tafsir al-Quran yang lengkap 30 juzuk yang dikarang oleh ulama Patani ialah Tafsir Jamal, yang disusun oleh Sheikh Ma’shum bin Jamal al-Fathani. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ada pendapat menyebut bahawa Sheikh Ma’shum bin Jamal al-Fathani adalah salah seorang murid Sheikh Daud al-Fathani.

Disusul oleh terjemahan dan tafsir al-Quran yang lengkap 30 juzuk yang ketiga disusun oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, hanya dijumpai sebuah manuskrip asli yang disimpan oleh seorang waris beliau di Kampung Jambu, Patani.

Ada pun terjemahan dan tafsir al-Quran oleh Sheikh Daud al-Fathani belum dijumpai secara lengkap 30 juzuk, tetapi ayat-ayat dalam surah-surah al-Quran terdapat dalam beberapa karangan beliau.

Surah yang agak panjang, yang lengkap dari awal hingga akhir terjemahan dan tafsir Sheikh Daud al-Fathani ialah surah Yusuf. Selain pernah diterbitkan bersendiri, juga dimuat dalam karyanya Jam’ul Fawaid. Dalam karyanya Warduz Zawahir juga banyak terdapat terjemahan dan tafsir ayat dari surah-surah yang panjang-panjang.

Sheikh Ahmad al-Fathani, selain pernah menterjemah dan mentafsir al-Quran 30 juzuk dan selaku pentashhih pertama Tafsir Baidhawi Melayu seperti disebut di atas. Contoh-contoh mengenainya dapat dipelajari dari karyanya Hadiqatul Azhar dan Bisyaratul ‘Amilin. Setiap permulaan dalam Bisyaratul ‘Amilin sesuatu Bab dimulai dengan salinan ayat al-Quran serta terjemahannya menurut perkembangan bahasa Melayu klasik dan pada beberapa terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani menggunakan gaya bahasa beliau sendiri.

Misal ikhtilaf terjemah bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu sekarang ataupun bahasa Indonesia, terdapat pada surah Muhammad ayat 23. Terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani sama maksud dengan terjemahan Syeikh ‘Abdur Rauf bin ‘Ali al-Fansuri.

Terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Bisyaratul ‘Amilin, “Maka hampir kamu, jikalau berpaling kamu daripada iman, maka membinasa kamu di dalam bumi dan memutus kamu akan segala rahim kamu …”

Terjadinya ikhtilaf ialah terjemahan perkataan terjemahan tafsir Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu “jikalau berpaling kamu daripada iman”, semua terjemahan bahasa Indonesia/Melayu sekarang ialah “jika kamu berkuasa”. Pada pandangan penulis, lebih dapat diterima terjemahan klasik kerana “jikalau berpaling daripada iman” lebih pasti ke arah membuat “kebinasaan di muka bumi”, sedangkan seseorang “jika berkuasa” belum dapat dipastikan ke arah membuat “kebinasaan di muka bumi”.

Tafsir ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Arab sahaja, bukan terjemahan bahasa Melayu, juga terdapat tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani. Mengenai ini terdapat pada dua tempat.

Pertama, pada salah satu dari tiga buah manuskrip Ilmu Bayan, pada bahagian tepinya beliau tulis beberapa ayat al-Quran dengan tafsirnya. Kedua, pada manuskrip Tashilu Nailil Amani, iaitu bahagian halaman dalamnya ayat-ayat al-Quran dii’rab menurut Ilmu Nahu, sedang pada bahagian tepinya ayat-ayat al-Quran ditafsirkan menurut kaedah Ilmu Tafsir.

* Ilmu Hadis

Ulama Patani yang terlibat dalam penulisan hadis dimulai oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani. Beliau menghasilkan kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin 1184 H/1770 M.

Karya Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani tersebut adalah terjemahan pertama Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi.

Selanjutnya diikuti Sheikh Daud al-Fathani, di antara karya beliau yang merupakan terjemahan hadis ialah Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, 1215 H/1800 M, Kasyful Ghummah, 1236 H/1822 M, Hikayat Imam, dan lain-lain terdapat beberapa hadis dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasauf.

Di antaranya pada mukadimah Bughyatut Thullab banyak diperkenalkan hadis tentang kelebihan ilmu, demikian juga dalam Jam’ul Fawaid dan lain-lain.

Sheikh Ahmad al-Fathani juga aktif dalam penulisan hadis, di antara karya mengenai ini ialah: Bisyaratul ‘Amilin wa Nazaratul Ghafilin, 1304 H/1887 M, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi Dengannya, Hadits-hadits Pilihan (merupakan bahasan Musthalah Hadits), Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.

Selain itu, Sheikh Ahmad al-Fathani pula tokoh pertama sebagai pentashhih dan penyebar kitab-kitab hadis yang dikarang oleh ulama-ulama nusantara. Antaranya adalah Al-Fawahidul Bahiyah atau Hidayatul Habib (1045 H/1635 M) oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri, Kasyful Ghummah (1236 H/1822 M) oleh Sheikh Daud al-Fathani dan Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani.

*Ilmu Tajwid

Pada sektor ilmu tajwid, ulama-ulama Patani menonjol sebagaimana ilmu-ilmu yang lain. Di antara risalah-risalah dan kitab-kitab ilmu tajwid yang dikarang oleh ulama-ulama Patani disenaraikan sebagai yang berikut:

*Al-Mawahibul Makkiyah, (1296 H/1879 M), karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Kitab ini ditashhih oleh muridnya Sheikh Ahmad al-Fathani.

*Sirajul Qari (1308 H/1891 M, karya Sheikh Muhammad Shalih bin Sheikh Zainal Abidin al-Fathani.

*Mauriduz Zhaman, (1315 H/1898 M), karya Sheikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora, Patani). Kitab ini ditashhih oleh gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani. Mauriduz Zhaman adalah kitab tajwid yang paling tebal dan paling lengkap dalam bahasa Melayu. Hingga kini, baik kitab tulisan Melayu/Jawi mahupun Latin/Rumi belum terdapat seperti kitab ini.

Adapun Syeikh Abdullah Senggora Patani itu adalah seorang ulama ahli bacaan al-Quran yang paling ulung di Mekah pada zamannya. Beliau hafal 30 juzuk berserta dengan qiraat sab’ah. Beliau pula pernah menjadi Rais (Ketua) Qurra’ Hijaz. Murid beliau sangat ramai; hampir semua ahli qiraat al-Quran yang terkenal nusantara yang ada pada masa sekarang ada perhubungan sanad kepada Sheikh Abdullah Senggora itu.

Ulama yang berasal dari Patani yang menyusun risalah tajwid ialah Sheikh Abu Ahmad Syamsuddin Abdul Mubin Muhammad Thaiyib Abdul Jabbar. Beliau tinggal di Pahang. Risalah tajwid yang beliau tulis ialah: Tabshiratul Ikhwan fi Tajwidil Quran, disingkat Tabshiratul Ikhwan saja.

* Ilmu Nahu

Mengenai ilmu nahu, di bawah ini adalah petikan dan diringkaskan dari buku Al-‘Alim Al-‘Allamah Sheikh Ahmad Al-Fathani (manuskrip). Dalam usia yang masih sangat muda, beliau menulis beberapa risalah atau kitab ilmu nahu yang ditulis dalam bahasa Arab. Risalah-risalah/kitab-kitab itu ialah:

* Manzhumatuts Tsimarisy Syahiyah, beliau namakan juga dengan Manzhumatul Fathaniyah, ditulis ketika beliau berada di Mesir tahun 1294 H/1877 M.

Selanjutnya ditulis pula Manzhumatu ‘Unqudil La-ali dan Manzhumatul ‘Awamil juga ditulis ketika beliau berada di Mesir, tahun 1296 H/1878 M. Tiga risalah nahu yang tersebut di atas semuanya ditulis dalam bentuk syair.

Manzhumatul ‘Awamil adalah berbentuk puisi (kalam nazham / syi’ir), kalimat-kalimatnya berbeza dengan aslinya iaitu Matnul ‘Awamil karya Abdul Qahir al-Jurjani (wafat 470 H), yang berbentuk prosa (kalam natsar).

Karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai nahu pula berjudul Ar-Risalatul Fathaniyah. Kitab ini telah ratusan kali cetak. Ar-Risalatul Fathaniyah pernah menjadi suatu kitab hafalan di pengajian beberapa buah pondok pengajian di Kedah, Kelantan, Patani, Bangkok bahkan seluruh Thailand, Cam dan juga beberapa pondok di Jambi dan Riau (Sumatera).

Walau bagaimanapun, kitab Ar-Risalatul Fathaniyah tidak lebih luas sebarannya jika dibandingkan dengan karya beliau Tashilu Naili Amani. Ar-Risalatul Fathaniyah diberi ulasan oleh salah seorang murid dan saudara sepupu beliau iaitu Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani (Pak De ‘El Fathani).

Kitab Ar-Risalatul Fathaniyah disyarah pula oleh anak saudara kedua-dua beliau itu, iaitu Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail al-Fathani. Syarah tersebut berjudul Al-Ibanatul I’rabiyah Syarhur Risalatil Fathaniyah.

Setelah Sheikh Ahmad al-Fathani kembali ke Mekah, beliau lanjutkan dengan mensyarahkan Matan ‘Awamil karya Sheikh Abdul Qahir al-Jurjani. Syarahnya diberi judul Tashilu Nailil Amani fi Syarhi ‘Awamil Jurjani atau dinamakan juga dengan Tasrihul Ghawamil fi Syarhil ‘Awamil, 1300 H/1882 M.

Sejak ditulisnya hingga ke hari ini masih banyak orang mengajar dan belajar kitab tersebut. Tashilu Nailil Amani diajar di Pulau Jawa dan di negeri nusantara lainnya sejak Sheikh Ahmad al-Fathani masih hidup lagi, mungkin kitab itu dibawa dan kemudian diajarkan oleh murid-muridnya.

Ulama Patani yang menyusun kitab ilmu nahu dalam bahasa Arab, diteruskan oleh murid Sheikh Ahmad al-Fathani. Beliau ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani.

Di antara karya beliau yang telah dijumpai ialah Janiyatuts Tsmarat fi Ta’rifi Ba’dhil Kalimat, 1325 H/1908 M, merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah. Karya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani tentang ilmu nahu pula, ialah Tamhidul Manahij al-Adabiyah fi I’rabi Mabanil Ajrumiyah sebanyak empat jilid.

Kitab ini pernah diajar di sekolah-sekolah agama dalam Kerajaan Selangor pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman dan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani sebagai Sheikhul Islam di kerajaan itu.

*Ilmu Saraf

Mengenai ilmu saraf karya Sheikh Ahmad al-Fathani pula diringkaskan keterangannya, bahawa ada empat buah yang dijumpai. Dua buah tidak beliau sebut tahun penulisannya dan dua buah masing-masing diselesaikan pada tahun 1308 H/1890 M dan 1317 H/1899 M, iaitu: Abniyatul Asma’ wal Af’al, tanpa dinyatakan tahun. Risalah ini senantiasa dicetak kembar dengan ilmu nahu judul Ar-Risalatul Fathaniyah, hingga sekarang sudah ratusan kali terbit.

Abniyatul Asma’ wal Af’al dalam zaman kejayaan pengajian pondok termasuk sebuah risalah yang diwajibkan menghafalnya bagi pelajar-pelajar pondok di Kedah, Kelantan, Patani, Bangkok bahkan seluruh Thailand dan Kemboja. Juga di beberapa tempat di Sumatera terutama di Riau dan Jambi.

Kitab ilmu saraf karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang kedua ialah Matnul Madkhal fi ‘Ilmish Sharfi. Yang ketiga diberi judul Al-Ibrizush Shirfu fi Fannish Sharfi, 1308 H/1890 M. Ilmu saraf yang keempat masih berupa manuskrip salinan yang belum diberi judul.

Kandungannya membahas secara mendalam dan keterangan yang panjang tentang Idgham, al-Qalb, an-Naql, al-Iskan dan al-Hazf. Karya yang tersebut diselesaikan pada Isnin, 22 Syaaban 1317 H/1899 M.

Manuskripnya ada dalam simpanan penulis, iaitu manuskrip salinan anaknya Haji Wan Ismail bin Ahmad al-Fathani yang diselesaikan pada bulan Jamadilakhir 1318 H/1900 M.

*Ilmu Balaghah

Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis mengenai ilmu ini, dalam simpanan penulis sekurang-kurangnya tersimpan tiga manuskrip mengenai ilmu yang tersebut.

Pertama, banyak corat-coret; di bahagian mukanya tertulis nama kitab itu dengan yang berasal dari milik ayah saudara beliau iaitu Sheikh Wan Daud bin Mushthafa al-Fathani (Pak Cik Wan Daud).

Kedua, yang asli tulisan tangan Sheikh Ahmad al-Fathani. Dan yang ketiga, juga tulisan tangan asli Sheikh Ahmad al-Fathani, ditulis dengan khat yang indah. Selain itu, dalam simpanan penulis ada tiga buah judul di atas berupa cetakan.

Sebuah di antaranya diusahakan oleh muridnya bernama Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang dicetak kombinasi dengan Janiyatuts Tsmarat, cetakan pertama oleh Matba’ah al-Miriyah, Makkah tahun 1325 H.

Judul lengkap karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang dibicarakan ini ialah Tadrijus Shibyan ila Tasywiqil Bayan, kemudian disyarah oleh muridnya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Pada bahagian tepi cetakan terdapat berupa matan karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang tersebut di atas.

Selain cetakan yang diusahakan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, ada lagi yang pernah diusahakan oleh anak beliau iaitu Kadi Haji Wan Ismail bin Sheikh Ahmad al-Fathani dan Majlis Ugama Islam Kelantan. Dicetak tahun 1349 H dan ditashhih oleh Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali, salah seorang murid kesayangan beliau.

* Ilmu Hisab dan Falak

Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khatib al-Minankabawi adalah ulama nusantara yang berhasil mengkaderkan murid-muridnya dalam bidang ilmu hisab dan ilmu falak pada penghujung abad 19 atau awal abad 20.

Titik tolak penyebaran ilmu hisab dan ilmu falak di nusantara secara luas adalah dari kedua-dua ulama Patani dan Minangkabau itu.

Di antara murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal dalam bidang ilmu tersebut ialah:

*Sheikh Muhammad Nur al-Fathani (Kadi Mekah), pernah mengajar di Terengganu

*Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani (Makkah) pernah mengajar di Siak Seri Inderapura,

*Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani

*Sheikh Tahir Jalaluddin (Minangkabau) tinggal di Semenanjung Melayu

*Sheikh Muhammad Jamil Jambek (Minangkabau), Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi (Kelantan)

*Haji Ismail bin Abdul Majid (Kelantan), pernah menjadi Mufti Pontianak dan mengajar ilmu tersebut di sana.

*Haji Hasan bin Yahya al-Jawi al-Jambi, dan ramai lagi.

Adapun mengenai penulisan Ilmu Hisab dan Ilmu Falak oleh Sheikh Ahmad al-Fathani semuanya dalam bahasa Arab dan masih berupa manuskrip. Karya beliau tentang Ilmu Hisab ialah: Tahqiq Matnis Sakhawiyah fi ‘Ilmil Hisab, 1304 H/1886 M.

Ada pun karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Ilmu Hisab dan Ilmu Falak, gabungan kedua-duanya, ialah: Tahqiq Wasilatith Thullab li Ma’rifati A’malil Laili wan Nahari bi Thariqil Hisab, 1305 H/1887 M. Mengenai ilmu fFalak sahaja ialah: Ghayatul Idrak fil ‘Amali bi Kuratil, 1313 H/1895 M dan Risalah fil ‘Amal bi Rubu’id Dairah, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Ulama Patani yang juga murid Sheikh Ahmad al-Fathani, yang menulis tentang Ilmu Hisab dan Falak ialah Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, semua karyanya dalam bahasa Arab, terdapat di Mekah sahaja. Diikuti oleh Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani dan anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih bin Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Karya Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani berjudul Minhajul Qawim, 1310 H/1892 M, dan karya anak beliau, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berjudul Jadwalut Tauqitid Daimiy.

*Ilmu Thib

Ilmu thib atau ilmu perubatan, yang dimaksudkan di sini ialah perubatan menurut tradisi Islam atau yang dibenarkan oleh syarak.

Di Nusantara ulama yang pertama menulis ilmu ini berasal dari Arab keturunan Abbasiyah, pindah ke Aceh, kemudian ke Patani. Beliau ialah Sheikh Shafiyuddin al-‘Abbasi (tiba di Fathani Darus Salam tahun 802 H/1400 M). Karya beliau mengenai ini ialah Sia-Sia Berguna. Manuskrip yang dijumpai adalah salinan Sheikh Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama nusantara yang pertama menjadi tabib. Di antara penulisan ilmu thib Sheikh Ahmad al-Fathani ialah: Luqthatul ‘Ajlan fima Tamassa ‘ilaihi Hajatul Insan, 1301 H/1883 M, Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan, disingkat Thaiyibul Ihsan saja, 1312 H/1894 M.

Selain itu dimuat dalam beberapa halaman karyanya Hadiqatul Azhar, juga dijumpai catatan-catatan beliau berupa manuskrip mengenai perubatan dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu, yang semuanya ada dalam simpanan penulis.

Daripada sekian ramai murid beliau dalam bidang ilmu-ilmu yang lain, hanya seorang yang berbakat dalam ilmu perubatan iaitu Raja Haji Ahmad Thabib Riau. Beliau pernah mempraktikkan pembedahan pesakit dengan menggunakan alat-alat daripada sembilu (buluh) yang dicipta sendiri.

Raja Haji Ahmad Thabib Riau adalah tabib Riau-Lingga yang terakhir; beliau juga meninggalkan risalah-risalah mengenai perubatan.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s