Menjadikan syariat Islam arus perdana


Menjadikan syariat Islam arus perdana
aki2004 | Mac 22, 2010 at 9:30 am | Categories: Fokus Isu | URL: http://wp.me/pfB19-sq
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Kedudukan sebagai agama Persekutuan tidak boleh disangkal berdasarkan Perlembagaan

UNDANG-UNDANG Islam di Malaysia sebenarnya agak unik. Ia mempunyai kedudukan tersendiri namun sering disalah erti. Undang-undang Islam yang mengawal majoriti rakyat Malaysia adalah teras pembentukan jati diri kebangsaan sama ada di kalangan orang Islam ataupun bukan Islam. Sebarang gagasan yang dilaungkan hendaklah berteraskan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama Persekutuan. Islam satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan itu. Tiada agama lain disebut dalam Perlembagaan Persekutuan secara khusus melainkan ia boleh dianuti dan diamal dengan aman dan harmoni. Gagasan yang menyatukan agama (unity of religions)hendaklah diaplikasi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan berdasarkan susur galur sejarah dan kesinambungan peradaban negara. Ia hendaklah mengambil kira nilai agama Islam, budaya dan sejarah di samping tidak meminggirkan keharmonian dan hak-hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejarah menyatakan perjuangan mencapai kemerdekaan oleh anak watan sebenarnya bagi mempertahankan akidah umat Islam serta melindungi institusi beraja di Malaysia. Oleh itu, dapat dilihat daripada perlembagaan awal negeri-negeri yang menzahirkan tradisi beraja ini. Perlembagaan negeri juga memperuntukkan Islam sebagai agama negeri kecuali Sarawak yang hanya memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi Agama Islam di dalam negeri dan Dewan Undangan Negeri boleh membuat undang-undang dan peraturan berkaitan hal ehwal Islam.

Namun perbincangan yang menyentuh kedudukan Islam dan undang-undangnya dalam Perlembagaan Persekutuan sering dimulakan dengan kekaburan mengenai Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Kepincangan ini bermula apabila mentafsirkan Islam adalah agama rasmi walhal dalam Perlembagaan Persekutuan ia menyebut Islam adalah agama Persekutuan. Malah tidak kurang juga yang berpandangan bahawa Perkara 3 itu hanya sekadar amalan di majlis rasmi saja.

Tun Salleh Abbas dalam kes Che Omar Che Soh v Public Prosecutor pula memberi tafsiran yang betul kepada Islam berdasarkan buku The Islamic Law and Constitution tetapi menyempitkan aplikasi Perkara 3 itu berdasarkan niat dan hasrat penggubal Perlembagaan. Walaupun demikian beliau sebenarnya tidak memutuskan bahawa negara ini adalah negara sekular seperti sering didakwa, tetapi hanya sekadar mengatakan undang-undang yang terpakai adalah undang-undang sekular seperti dibenarkan oleh Perkara 162 Perlembagaan. Mungkin kesilapan yang ketara di dalam penghakiman itu ialah menggunakan perkataan ‘undang-undang sekular’ yang mana sepatutnya digunakan perkataan ‘ undang-undang sedia ada’ (exsiting laws).
Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqurrahman v Fatimah bte Sihi pula berpendapat mengenai kedudukan Perkara 3(1) seperti berikut:

“Ulasan pertama saya mengenai peraturan pakaian seragam sekolah ini ialah peruntukan pakaian seluar pendek bagi murid lelaki dan pakaian pinafore tunic bagi murid perempuan di sekolah menengah adalah membelakangkan agama Islam di mana yang dulu dikemudiankan dan yang kemudian didahulukan dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Murid lelaki dikehendaki memakai seluar pendek tetapi diberi pilihan memakai seluar panjang. Murid perempuan pula dikehendaki memakai pinafore tunic dan blouse (skirt bagi Tingkatan VI) tetapi diberi pilihan memakai baju kurung dan kain sarung atau tudung/mini telekung.

Sepatutnya pakaian murid lelaki ialah seluar panjang dengan memberi pilihan memakai seluar pendek dan pakaian murid perempuan ialah baju kurung, kain sarung dan tudung/ telekung dengan memberi pilihan memakai pinafore tunic dan blouse atau skirt. Dengan cara sedemikian peraturan pakaian seragam ini akan selari dengan perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:

Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Pada pendapat saya, ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama antara agama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu dan selainnya. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. la duduk di atas, ia berjalan dulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati – tinggi, teguh dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu antara beberapa agama yang dianuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana agama yang dianutinya, tiada lebih satu dari yang lain.”

Hakim Mohd Noor seterusnya berkata: “Saya percaya seandainya pembuat dasar di Kementerian Pendidikan sedar atau disedarkan tentang kaedah pakaian bagi orang Muslim dan mengutamakan Islam sebagai agama Persekutuan, Kementerian Pendidikan tidak akan mewajibkan pakaian seluar pendek bagi murid lelaki dengan pilihan seluar panjang atau mewajibkan pakaian pinafore tunic dan blouse bagi murid perempuan dengan pilihan memakai baju kurung dan kain sarung serta tudung/telekung. Peraturan pakaian seragam sekolah Bil 3/1983 tersebut adalah songsang dan tak selari dengan Perlembagaan.”

Berdasarkan penghakiman di atas, jelas dalam sebarang tindakan kita perkara utama yang perlu kita lihat sebelum mengambil sebarang tindakan ialah melihat sama ada Islam yang merupakan agama negara itu membenarkan tindakan sedemikian ataupun tidak. Perkara ini termasuklah dalam menggarap pengisian apatah lagi dalam urusan kerajaan. Syariat Islam mesti diarusperdanakan dalam kehidupan bernegara di Malaysia bukan diharmonikan tertakluk kepada undang-undang yang ada.

Sebarang gagasan yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak meminggirkan kedudukan agama Islam dan undang-undangnya yang telah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Semangat kontrak sosial juga hendaklah sentiasa dipelihara dalam setiap tindakan kerajaan dalam melaksanakan gagasan ini. Ini adalah disebabkan Perlembagaan Persekutuan adalah satu tolak ansur yang unggul dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu yang lain.

Kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia adalah ciri atau pola utama demografi di negara kita. Menariknya, kepelbagaian ini yang disulami dengan kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang rakyat untuk hidup secara harmoni dan bersatu padu. Kedudukan ini haruslah dipertahan dan diterima oleh setiap warga negara tanpa mengira ras ataupun agama.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s