Memahami Lima Peruntukan Utama Dalam Perlembagaan Malaysia


Jamal Rizal Hj. Razali

Jika seluruh warganegara Malaysia hari ini ditanya tentang Perlembagaan Malaysia, hanya sebilangan kecil sahaja yang pernah melihat, membaca dan menjadikannya sebagai panduan di dalam setiap gerak-geri serta tindak tanduknya di negara ini.

Ini kerana Perlembagaan Malaysia itu tidak pernah ditampilkan atau dijadikan bahan bacaan umum seperti mana buku-buku yang sering kita baca. Dengan kata lain, ia tidak dijadikan bahan bacaan yang akrab dengan pembaca.

Perlembagaan Malaysia juga tidak pernah dijadikan sebagai bahan bacaan wajib di sekolah-sekolah. Topik berkenaan Perlembagaan Malaysia hanya disentuh melalui matapelajaran Pengajian Malaysia iaitu matapelajaran berstatus wajib ambil dan wajib lulus bagi setiap pelajar IPT.

Memandangkan ia hanyalah satu bab, maka penjelajahan terhadap Perlembagaan Malaysia tidaklah begitu mendalam.

Namun demikian, setidak-tidaknya telah berlaku pendedahan kepada para pelajar tentang kewujudan dan peranan Perlembagaan Malaysia bagi mereka sebagai seorang warganegara Malaysia.

Di dalam topik Perlembagaan Malaysia, mereka didedahkan secara kronologis sejarah perlembagaan yang ada di tanahair kita bermula daripada kewujudan pelbagai Hukum Kanun di setiap negeri yang dijadikan sebagai panduan dalam menjalankan pentadbiran.

Selain itu, mereka juga didedahkan dengan proses penggubalan Perlembagaan Malaysia mulai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, individu yang terlibat serta tanggungjawab mereka dalam usaha menggubal sebuah perlembagaan bagi Malaysia.

Selain itu, perkara yang paling pokok di dalam Perlembagaan Malaysia ialah kewujudan bahagian-bahagian utama di dalamnya yang dikenali sebagai “5 Peruntukan Utama”.

Sebagai seorang warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, sudah semestinyalah kita mengetahui akan kewujudan serta kegunaan peruntukan-peruntukan tersebut.

Ini kerena setelah 50 tahun negera kita merdeka, masih ramai yang tidak arif atau mengetahui akan hak-hak mereka di sisi undang-undang.

Dan ini termasuklah di dalam perlembagaan kerana bagi kebanyakan daripada mereka, perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang atau perlembagaan biarlah diserahkan kepada peguam, hakim atau pendakwaraya.

Tanggapan seperti ini sebenarnya tidaklah tepat sama sekali. Setiap warganegara sebenarnya perlu mengetahui dengan jelas apakah hak-hak mereka sebagai seorang warganegara yang sah bagi sesebuah negara.

Individu itu juga perlu jelas tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.“5 Peruntukan Utama” ini sebenarnya merupakan peruntukan-peruntukan yang menyentuh tentang hak-hak yang paling asas bagi setiap individu yang menjadi warganegara Malaysia.

Peruntukan yang pertama yang dikategorikan di dalam 5 Peruntukan Utama ini berkaitan dengan bahasa.

Sepertimana kita ketahui, bahasa ialah alat untuk berkomunikasi, menyampaikan warisan daripada generasi ke genarasi berikutnya, dan yang paling utama ialah bahasa sebagai lambang atau imej bagi sesebuah bangsa.

Kewujudan bahasa sangat berkait erat dengan jati diri sesebuah bangsa.

Semua bangsa di dunia ini mempunyai bahasanya tersendiri yang menjadi lambang atau identiti bangsa tersebut.

Bangsa yang tidak mempunyai bahasa sendiri ialah bangsa yang kosong jiwa dan semangat. Selain itu, bahasa juga berfungsi sebagai penyatu bangsa bagi sesebuah negara.

Di Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu Melayu, India dan Cina. Selain itu, terdapat banyak kaum minoriti yang berada di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Kesemua kaum ini mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza daripada aspek-aspek linguistiknya. Melalui sebuah bahasa kebangsaan, kesemua kaum yang ada di Malaysia disatukan melalui penggunaan satu bahasa penyatu.

Melalui Perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan yang mendapat tempat dan hak di sisi undang-undang dan keistimewaan.

Disebutkan di dalam perlembagaan bahawa Perkara 152 Bahagian XII menegaskan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah Bahasa Melayu.

Ini bermaksud, Bahasa Melayu yang dituturkan oleh penduduk asal di Kepulauan Nusantara, termasuk di Tanah Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan.

Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebenarnya mengundang banyak perdebatan. Isu ini telah dibincang dan dibahaskan dengan halus oleh para pemimpin dan penggubal perlembagaan.

Isu ini dikupas dan diberi pengadilan daripada setiap aspek sama ada pensejarahan, linguistik, fungsinya di dalam pelbagai situasi serta statusnya.

Didapati bahawa Bahasa Melayu merupakan lingua franca atau bahasa perantaraan yang telah digunakan sejak berabad-abad lamanya. Paling ketara ialah penggunaannya sebagai bahasa komunikasi di kalangan para pedagang di zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka.

Perkara ini pernah dicatatkan oleh Antonio Pigafetta, seorang pengembara dari Itali yang mengikuti kapal Magellan dari pelabuhan Seville di Sepanyol pada tahun 1519, apabila beliau menyusun kamus Bahasa Itali-Bahasa Melayu yang pertama sebagai panduan kepada para pedagang dari Eropah di Melaka.

Bahasa Melayu juga bersifat tekal daripada aspek fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan peristilahan. Ini menjadikannya mudah dipelajari dan digunakan oleh penutur bahasa-bahasa lain.

Ia juga boleh ditulis menggunakan huruf Roman atau menggunakan tulisan Jawi (Arab).

Berbanding bahasa-bahasa lain yang digunakan di Tanah Melayu, Bahasa Melayu tidak mempunyai dialek-dialek yang ketara perbezaannya sehingga menyebabkannya menjadi bahasa yang berbeza.

Daripada semua faktor yang dikemukakan tadi, satu hal yang tidak dapat disangkal ialah kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kepada penduduk asal di Tanah Melayu, iaitu orang-orang Melayu juga menyebabkannya diangkat menjadi bahasa kebangsaan.

Selain itu, satu perkara yang sangat menarik perhatian kita, terutama generasi yang dilahirkan selepas kemerdekaan ialah hak-hak bahasa lain yang ada di Malaysia sama sekali tidak dinafikan oleh Perlembagaan Malaysia.

Dinyatakan bahawa semua bahasa yang ada di Malaysia adalah bebas digunakan, dipelajari, diajar dan dikembangkan.

Ini bermakna, bahasa-bahasa lain selain Bahasa Melayu tidaklah dilarang penggunaannya sebagai bahasa komunikasi, hanya ianya tidaklah mendapat status bahasa kebangsaan.

Namun demikian, perkara yang paling penting di dalam proses pemilihan bahasa untuk dijadikan sebagai bahasa kebangsaan di negara kita ialah kesepakatan dan tolak ansur di kalangan kesemua kaun yang ada di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Kedua-dua sifat terpuji tersebut sangatlah penting dipegang dan diamalkan oleh generasi pada hari ini demi meneruskan kelangsungan kemerdekaan dan kewujudan sebuah negara Malaysia.

Memahami proses serta susur galur pemilihan dan perancangan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sangat penting bagi setiap warganegara Malaysia.

Peruntukan utama yang kedua pula ialah agama rasmi negara kita. Berdasarkan Bahagian I, Bab 3 Perlembagaan Malaysia, agama rasmi Persekutuan ialah agama Islam, tetapi agama-agama lain boleh dianuti secara aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perembagaan Malaysia juga menyatakan bahawa Sultan atau Raja sesebuah negeri ialah ketua agama Islam bagi negeri tersebut, manakala negeri-negeri yang tidak diperintah oleh Sultan atau Raja seperti Pulau Pinang, Melaka, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Labuan, Kuala Lumpur) pula akan diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peruntukan ini sangat penting diketahui oleh setiap warganegara Malaysia kerana melaluinya kita akan menyedari bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang amat menjunjung tinggi pengamalan keagamaan.

Ini diperkukuhkan lagi melalui rukun yang pertama di dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan. Dengan kata lain, Malaysia bukanlah tempat bagi orang-orang yang tidak mempunyai agama atau ”free thinker”.

Pemerintah mempunyai hak melalui kuasa-kuasanya seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk mengambil tindakan terhadap orang-orang atau warganegaranya yang tidak mempunyai sebarang pegangan agama.

Sama seperti proses pemilihan bahasa kebangsaan tadi, pemilihan agama Islam sebagai agama rasmi negara dibuat berdasarkan faktor sejarah, fungsi, status dan kewujudannya di negara kita.

Selain itu, agama-agama lain yang ada di negara ini adalah bebas diamalkan malah rumah-rumah ibadat turut dibina bagi mempermudahkan penganutnya untuk menjalankan tanggungjawab keagamaan masing-masing.

Isu-isu berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputra turut termasuk sebagai salah satu daripada 5 Peruntukan Utama.

Ini dinyatakan di dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia bahawa, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Tanah Melayu atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura.

Kewujudan Perkara 160 (2) yang berkaitan dengan pemberian hak-hak istimewa ini perlu dilihat dan difahami daripada perspektif sejarah.

Ia tidak boleh dilihat daripada sudut logik, emosi atau…. kerana batu asas bagi perkara ini ialah faktor tolak ansur, kesepakatan dan persejutuan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin tiga kaum utama di negara kita di dalam proses menuntut kemerdekaan daripada British.

Terdapat tiga bidang yang menjadi keistimewaan bagi orang-orang Melayu dan bumiputra di Sabah dan Sarawak. Tiga bidang tersebut ialah Perkhidmatan awam, Ekonomi dan Pendidikan.

Bagi perkhidmatan awam, Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat jemaah menteri berhak untuk menentukan perizaban jawatan di dalam sektor awam bagi orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak.

Tujuan diadakan kuota atau perizaban ini bagi mengimbangi pola kakitangan awam yang sebelum dan pada awal tahun-tahun kemerdekaan didominasi oleh orang asing.

Daripada aspek ekonomi pula, orang-orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak dilihat agak ketinggalan berbanding kaum lain.

Sehubungan itu, mereka digalakkan untuk menyertai sektor ekonomi, industri dan perniagaan bagi mempertingkat status ekonomi mereka.

Sehubungan itu, sebarang kelulusan permit atau bantuan untuk menjalankan usaha-usaha dangang tersebut hendaklah dipermudahkan bagi orang-orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak.

Manakala di dalam bidang pendidikan pula, semua warganegara adalah berhak mendapat pendidikan. Secara minimum, pendidikan wajib yang mesti dilalui oleh setiap warganegara sehingga kini ialah selama 11 tahun yang bermula daripada darjah satu hingga tingkatan lima.

Selain itu, seseorang itu tidak boleh dihalang untuk mendapatkan pendidikan setinggi mungkin, selagi individu tersebut berkemampuan sama ada daripada aspek fizikal mahu pun mental.

Manakala peruntukan utama yang keempat ialah Kewarganegaraan. Perkara ini terkandung di dalam Bahagian 3, Perkara 14 hingga 22 yang menyebut mengenai hak serta cara-cara mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Manakala Perkara 23 hingga 28 pula membahas berkenaan cara atau ciri-ciri yang menyebabkan seseorang wrgannegara boleh terlucut dan dilucutkan hak warganegaranya.

Perkara berkaitan dengan hak-hak kewrganegaraan ini sebenarnya sangat penting diketahui dan difahami.

Dalam situasi sekarang yang dilanda oleh arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, seseorang itu perlu faham dan tahu akan hak mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan dan juga pelucutan kewarganegaraan mereka.

Sebagai contoh, seorang profesional yang berhijrah atau bermigran ke negara lain untuk bekerja, dan pada masa yang sama turut membawa keluarga untuk menetap bersamanya di negara tersebut.

Beliau perlu tahu langkah-langkah yang harus diambilnya sewaktu berada di negara tumpang tersebut, sama ada ke atas dirinya sendiri mahupun ke atas anggota keluarganya.

Contohnya, jika isteri beliau melahirkan anak, maka beliau mestilah mendaftarkan kelahiran anak tersebut dalam tempoh di kedutaan atau pejabat konsul Malaysia yang berdekatan.

Jika tindakan ini gagal diambil oleh beliau maka anak tersebut tidak layak diberi kewarganegaraan Malaysia walaupun kedua ibu bapanya adalah warganegara Malaysia.

Secara umumnya, di dalam perkara kewarganegaraan ini kita perlu mengetahui bahawa kewarganegaraan seseorang itu boleh didapatkan melalui beberapa cara.

Pertama, melalui Kuat Kuasa Undang-Undang iaitu bagi individu yang lahir sebelum Hari Malaysia dan menjadi warganegara Persekutuan berhak menjadi warganegara Malaysia, serta individu yang dilahirkan pada atau selepas Hari Malaysia adalah berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Bagi kewarganegaraan yang didapatkan secara pendaftaran atau permohonan pula, individu yang terlibat biasanya ialah isteri atau suami yang bukan warganegara tetapi berminat untuk menjadi warganegara Malaysia.

Pasangan tersebut mestilah masih berkahwin secara sah, bermastautin di Persekutuan selama lebih daripada dua tahun dan berniat untuk terus bermastautin di Persekutuan, serta sudah berkahwin pada atau selepas tahun 1962.

Manakala bagi individu yang berumur kurang daripada 21 tahun pula, dia mestilah telah didaftarkan oleh ibu bapanya yang mana salah seorangnya mestilah warganegara Persekutuan, di mana-mana pejabat wakil kuasa kerajaan Malaysia dan anak tersebut mestilah pada atau selepas tahun 1962.

Begitu juga halnya dengan individu yang berumur 18 tahun atau lebih, yang lahir di Persekutuan sebelum Hari Kemerdekaan, perlulah membuktikan status pemastautinannya di Persekutuan selama lima daripada tujuh tahun sebelum layak memohon.

Di samping itu, individu tersebut mestilah berniat menjadi pemastautin, memiliki pengetahuan Bahasa Melayu yang baik serta tidak mempunyai sebarang rekod salahlaku.

Bagi individu yang berumur 18 tahun dan bermastautin di Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia pula akan layak mendapat kewarganegaraan Persekutuan jika mereka telah bermastautin di Persekutuan Malaysia pada Hari Malaysia, atau telah bermastautin selama tujuh daripada sepuluh tahun di Persekutuan selepas tahun 1962.

Kewarganegaraan Malaysia juga boleh didapatkan melalui cara Kemasukan. Cara ini terbuka bagi individu atau warga asing yang berumur lebih daripada 21 tahun dan berminat untuk menjadi warganegara Malaysia.

Syarat-syarat bagi mendapatkan kewarganegaraan secara kemasukan ialah, individu tersebut telah menetap di Persekutuan Malaysia selama sepuluh daripada dua belas tahun sebelum tarikh permohonan, berniat menjadi pemastautin tetap di Malaysia, mempunyai tingkah laku yang terpuji dan mempunyai pengetahuan Bahasa Malaysia.

Manakala cara mendapatkan kewarganegaraan yang terakhir ialah melalui Percantuman Wilayah.

Kaedah ini merupakan cara yang mudah tetapi jarang berlaku. Keadaan ini hanya berlaku jika terjadi suatu proses politik dan undang-undang yang rumit. Sebagai contoh, semua penduduk yang tinggal di Singapura, Sabah dan Sarawak secara langsung layak mendapat hak kewarganegaraan Malaysia apabila ketiga-tiga wilayah tersebut menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Namun, hak-hak sebagai seorang warganegara Malaysia bukanlah kekal kerana terdapat syarat-syarat tertentu yang mesti dipatuhi oleh setiap warganegaranya.

Hak-hak tersebut boleh terlucut atau dilucutkan oleh Perlembagaan Malaysia jika pemegangnya melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan kehendak perlembagaan itu.

Sebagai contoh, individu tersebut tidak lagi berminat untuk mengekalkan kewarganegaraan yang dimilikinya dengan cara menolak kewarganegaraannya seperti menjadi warganegara asing.

Kewarganegaraan juga boleh dilucutkan oleh perlembagaan jika individu tersebut membuktikan bahawa dia tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau percakapannya.

Penderhakaan yang dilakukan oleh individu tersebut sama ada di dalam mahupun di luar negara juga menyebabkan perlembagaan berhak menarik balik kewarganegaraan seseorang itu.

Umpamanya, menjalankan perhubungan atau perniagaan dengan negara atau musuh negara seperti Israel. Semua warganegara Malaysia adalah dilarang sama sekali daripada mempunyai hubungan dalam apa jua bentuk dengan negara Israel.

Jika keadaan ini berlaku, pihak kerajaan melalui hak-haknya di dalam perlembagaan akan menarik balik kewarganegaraan individu tersebut.

Selain itu, seseorang warganegara yang mendapatkan kewarganegaraannya melalui pendaftaran tadi turut tidak terlepas daripada tindakan pelucutan kewarganegaraannya jika individu tersebut dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau didenda tidak kurang daripada RM5000 tanpa mendapat pengampunan bagi kesalahan tersebut.

Begitu juga dengan individu yang telah bermastautin di negara asing selama lebih daripada 5 tahun secara berterusan dan tidak pernah melapor atau mendaftar di Pejabat Konsul Persekutuan.

Pelucutan kewarganegaraan ini boleh dilakukan oleh pihak kerajaan berdasarkan hak-hak di dalam perlembagaan melalui proses kehakiman.

Jika pihak mahkamah berpuashati dengan dakwaan pihak kerajaan, maka keputusan tersebut akan disampaikan kepada individu melalui cara bertulis beserta sebab dan alasan tindakan tersebut diambil.

Manakala perkara ke lima di dalam peruntukan utama ini ialah Hak Asasi yang dimiliki oleh setiap individu yang menjadi warganegara Malaysia.

Kewujudan hak-hak asasi bagi setiap individu ini sangat penting kerana, Perlembagaan Malaysia memperakui dan mengiktiraf peranan, sumbangan dan memberikan setiap individu itu hak yang bersesuaian dengan fitrahnya.

Hak asasi yang pertama ialah hak untuk beragama. Melalui Perkara 11 dan 12, dinyatakan bahawa setiap orang berhak mengamalkan agamanya tanpa menimbulkan sebarang kerisauan dan ketakutan kepada orang lain.

Kelompok agama tersebut juga berhak mengurus segala hal agamanya termasuk menubuhkan yayasan dan memiliki harta.

Manakala, seseorang itu tidak boleh diminta membayar apa-apa cukai jika hasil peungutan itu digunakan untuk kepentingan agama lain daripada agamanya dan, seseorang yang berumur di bawah 18 tahun tidak boleh sama sekali diajak mengambil bahagian dalam upacara keagamaan selain agamanya.

Setiap individu juga dijamin haknya untuk mendapat peluang pendidikan di negara ini tanpa sebarang perbezaan terhadap mana-mana warganegara semata-mata kerana agama, kaum ,bangsa, tempat lahir, bahasa danwarna kulit.

Begitu juga dengan hak terhadap harta seperti yang dinyatakan melalui Perkara 13, iaitu setiap individu tidak boleh dilucutkan hartanya kecuali berdasarkan undang-undang.

Jika kerajaan mengambil tindakan untuk melucutkan harta individu, maka adalah menjadi kewajipan bagi kerajaan untuk membayar pampasan yang sewajarnya kepada pemilik asal harta tersebut.

Jika di negara-negara lain, pergerakan rakyatnya di antara sesebuah wilayah walaupun masih lagi berada di dalam kawasan tadbirannya tidaklah bebas seperti yang berlaku di negara kita.

Di Malaysia, pergerakan seseorang itu tidak disekat kecuali atas sebab-sebab keselamatan, kesihatan awam dan hukuman seperti hukuman kediaman terhad.

Walau bagaimanapun, pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak adalah tertakluk kepada undang-undang imigresen khusus dan perkara ini tidaklah menjadi isu yang besar kerana ianya telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu hampir 45 tahun yang lalu.

Selain kita bebas bergerak, kita juga mempunyai kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan.

Kebebasan ini diberikan bertujuan untuk memupuk bakat-bakat kepimpinan yang ada di kalangan rakyat Malaysia dan juga sebagai saluran untuk mengemukakan pandangan, pendapat atau kritikan secara berhemah.

Walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak bermakna semua perkara boleh dibincangkan secara terbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pihak tertentu.

Isu-isu sensitif seperti isu berkaitan agama, bahasa kebangsaan, bangsa atau kaum, hak-hak keistimewaan, kewarganegaraan, kuota bagi orang-orang Melayu dan kedaulatan raja-raja adalah dilarang dibicarakan secara terbuka.

Kebebasan lain yang turut dinikmati oleh setiap warganegara Malaysia ialah tidak ada pihak yang boleh dijadikan abdi atau melakukan kerja paksa, mendapat perlindungan dan kesamarataan di sisi undang-undang.

Sebagai contoh, seseorang yang dituduh bersalah tidak boleh dianggap bersalah selagi tidak dihukum bersalah oleh mahkamah yang menjalankan perbicaraan yang adil.

Tertuduh juga tidak boleh dituduh dengan tuduhan yang sama buat kali kedua, sekiranya telah dilepas dan dibebas oleh mahkamah atas tuduhan yang sama.

Kewujudan lima Peruntukan Utama ini di dalam perlembagaan dan pengamalannya di dalam sistem pentadbiran negara kita perlulah difahami secara holistik.

Kita juga perlu memahami latar belakang sejarah, politik serta sosiologi sebelum kita membuat sebarang tafsiran.

Selain itu, sebagai seorang warganegara tanpa mengira kedudukan atau status ekonomi, sosial, politik, pendidikan, agama atau apa sahaja perbezaan yang ada, kita mesti mengetahui dan faham hak-hak sebagai seorang warganegara yang sah seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Namun demikian, timbul persoalan yang kadang-kadang membuatkan kita menjadi sangat sedih apabila melihat generai pasca kemerdekaan yang seolah-olah tidak begitu mengambil berat hal ehwal yang berkaitan dengan kenegaraan, perlembagaan mahupun kewujudan lima Peruntukan Utama ini.

Adalah sangat membimbangkan jika keadaan seperti ini berlaku di dalam kehangatan kita menyambut kemerdekaan negara tercinta ini buat kali ke 50.

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk kembali menanam semangat cintakan negara, dan salah satu caranya ialah menggalakkan seluruh warganegara Malaysia agar memahami perlembagaan, dan tidak terkecuali lima Peruntukan Utama.

Mudah-mudah generasi masa depan akan dapat memahami latar belakang dan sejarah pembentukan negara kita. Merdeka!

Penulis Adalah Dari Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang

5 responses to “Memahami Lima Peruntukan Utama Dalam Perlembagaan Malaysia

  1. Asalamualaikum

    buat masa ini sya disekat memberi komentar di Karimon’s blog. Oleh itu saya memohon maaf kerana tidak dapat menjawab komentar saudara kepada saya di weblog tersebut. Saudara boleh memberi komentar diweblog saya jika perlu. Saya ada masukan pautan weblog saudara ini di weblog saya seperti alamat di bawah ini;

    http://sejarahhangtuah.wordpress.com/

    http://sejarahpulaubesarmelaka.wordpress.com/

    http://gunungledangmelaka.wordpress.com/

    wasalam.

    • wsalam pakcik li, harap ukwah ini berkekalan dengan rahmat ilahi…insyaalah saya akan utarakan pertanyaan pada p cik li nanti, harap pak cik li senang mmbalasnya..pakcik li pun harap beri sokongan pada blog saya.t kasih ya.

  2. salam..sy nak tanya soalan….apakah kriteria-kriteria penting yang diambil kira dalam penggubalan perlembagaan malaysia ?.Sekian terima kasih.

  3. Assalamualaikum saudara..
    persoalan saya apakah hak2 pemastautin tetap jika dibandingkan dengan warganegara malaysia

    terima kasih

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s