Apabila Habib Umar Di Tuduh Ulama Palsu


Menghina ulama di kalangan Ahlulbait di lakukan oleh golongan2 yang melampaui batas……………

Beberapa hari lalu seorang sahabat menceritakan kepada saya tentang adanya seorang Ustaz yang juga ahli politik yang memperjuangkan Islam di dalam ceramahnya menuduh Habib Umar adalah ULAMA PALSU kerana TIDAK BERJUANG. Ustaz ini bolehlah dikatakan bertitle ulama kerana kemampuannya mengajar dengan kitab-kitab masyhur seperti Hidayatus Salikin karangan al-Alamah Syeikh Abdus Samad al-Falimbani rahimahullahu taala. Kitab ini adalah huraian daripada kitab Bidayatul Hidayah, iaitu ringkasan kitab Ihya Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullahu taala dan kitab-kitab lain yang mana pengarang kitab ini bukan sahaja Ulama Sufi Nusantara yang masyhur malahan seorang pengembang tarikat tasawwuf (tarikat Samaniah). Walaupun pejuang-pejuang Islam sekarang (setengahnya) sangat Alergi bila disebut Tarikat Tasawwuf namun kitab karangan ulama-ulama tersebut masih dibaca. Samalah juga orang di Terengganu yang selalu membanggakan sejarah negeri Terengganu yang diperintah secara Islam selama 25 tahun di zaman raja nya Sultan Zainal Abidin III dan di bawah ulama besar Terengganu Sayyid Abdul Rahman Al ‘Idrus (Tok Ku Paloh). Sultan Zainal Abidin III adalah seorang yang alim dan banyak perkara perundangan negeri dan hukum agama merujuk kepada Tok Ku Paloh. Tok Ku Paloh pula adalah seorang Ulama Sufi, ahli Tariqah pengembang beberapa tarikat seperti Naqsyabandiyyah, Shatariyyah dan Ratib al Haddad. Begitu juga dengan sahabat serta murid beliau yakni Hj Abdul Rahman Limbong yang di beri mandat oleh Tok Ku Paloh untuk berhadapan dengan saki baki Salibiyyah yang datang ke Terengganu dalam misi menjajah. Bukan tidak ada ulama-ulama lain dalam negeri Terengganu, tapi bagi Tok Ku Paloh hanya Haji Abdul Rahman sahaja yang mampu menghadapi kuasa kuffar tersebut. Haji Abdul Rahman Limbong yang selalu di bangga-banggakan oleh beberapa tokoh politik yang mendakwa berjuang Islam hanya kenal hasil perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong sahaja, tapi tidak mengenali intipati yang menjadi perkara pokok, yang menjadi tunjang kekuatan serta dasar pegangan yang jazam kepada Haji Abdul Rahman sendiri. Haji Abdul Rahman juga adalah ahli sufi yang mengamalkan tarikat Samaniyyah yang mana sanadnya bersambung kepada Shiekh Abdul Somad Al Palembani, kepada Shiekh Muhammad Saman, seterusnya sampai kepada Rasulullah. Beliau juga adalah seorang pedagang. Saya tidak berhajat memanjangkan kisah ulama-ulama ini namun cuba layari laman web ini http://ulama-nusantara.blogspot.com/ . Apa yang hendak saya utarakan di sini adalah sebahagian besar ulama-ulama terdahulu yang berjuang menyebarkan Islam sehingga sampai kepada kita hari ini adalah dari tokoh-tokoh ulama tasawuf yang memilih kehidupan Sufiyyah mengikut disiplin dan manhaj Rasulullah.

Orang mengenali Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan Al Banna sebagai badan yang memperjuangkan Islam di Mesir. Namun berapa ramai yang mengetahui apakah yang menjadi tapak asas yang menjadi kekuatan Ikhwan pada permulaan kewujudannya. Berapa orang yang mengetahui bahawa Ustaz Hassan Al Banna adalah seorang yang terdidik dengan jalan sufi. “Jam’iyyah As-Suluk wal Akhlak” dan “Jama’ah An-Nahyu Al-Munkar” adalah menjadi landasan awal sebelum terbentuknya Ikhwanul Muslimin dan beliau juga memiliki hubungan yang erat dengan harakah sufiyyah yang pada saat itu marak tersebar di berbagai pelosok daerah dan kota di Mesir.

Mungkin ada di kalangan anda yang sudah mengenali Habib Umar. Beliau adalah seorang ulama dan pendakwah yang gigih. berasal dari Tarim, Hadramaut, Yaman. Salasilah keturunan nya sampai kepada Imam Hussein cucu kepada Rasulullah s.a.w. Ayahanda beliau Habib Muhammad bin salim adalah seorang mufti Kota Tarim juga seorang pendakwah dan pejuang agama. Pernah memikul senjata melawan komunis Yaman. Sekarang tidak diketahui samada hidup atau mati setelah diculik oleh komunis.

Seperti tradisi ulama-ulama silam yang tersohor, Habib Umar sejak remajanya telah mampu menghafaz Al Quran. Di bidang hadis pula dikatakan beliau mampu menghafaz lebih dari 100,000 hadis beserta sanad dan matan hadisnya sekali. Pernah sekali semasa majlis Daurah yang di adakan di Kuala Lumpur beliau membaca dan menghuraikan kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali tanpa dengan ketiadaan kitab di hadapannya, seolah-olah karangan Al Imam Ghazali itu berada dalam dadanya. Kelayakan bagi seseorang imam mujtahid seperti imam Maliki, Syafei dan lainnya dalam menghafaz hadis jumlahnya mencapai lebih dari 600,000 hadis. Tapi orang sekarang Hadis Arba’in (hadis 40) susunan Imam Nawawi pun belum tentu dapat hafaz sudah rasa pandai dan alim dan hentam ulama yang tak sebulu dengan mereka.

Islam menganjurkan sifat berbaik sangka sesama saudara Islam. Kita tidak boleh mendakwa kumpulan kita sahaja yang memperjuangkan Islam. Ada perkara yang tidak mampu kita lakukan tapi dapat dipraktikkan oleh NGO Islam lain. Ada golongan yang tak berpolitik namun memberi undi kepada parti Islam kerana menyedari kewajipan menyokong di atas nama perjuangan Islam. Mereka ada alasan mengapa tidak mencampuri kaedah berpolitik sekarang dan seharusnya kita menghormati pendapat mereka. Kita juga perlu muhasabah diri dan selalu bertanya pada diri kita sendiri apakah yang kita bawa sekarang ini ada kesinambungan dengan apa yang Rasullallah bawa. Rasulullah menyampai risalah dakwah bukan dengan kehendak atau pemikirannya sendiri melainkan dengan wahyu Allah. Rasulullah tidak menyampaikan ideologi tapi menyampaikan wahyu. Rasulullah bersabda ‘Aku, para sahabatku dan orang yang ada pada sahabatku yakni Al Jamaah (Ahlisunnah Wal Jamaah) yang masuk syurga’, tapi ahli politik sekarang kata tak apa, apa-apa fahaman pun samada ahlisunnah ke, wahabi ke, Syiah ke, DAP ke asalkan beri undi untuk memenangkan Islam. Politik Rasulullah adalah politik wahyu. Wahyu dibangsakan kepada nabi dan rasul manakala Ilham Rabbani dibangsakan kepada Wali-wali Allah. Wahyu sudah putus setelah berakhirnya era nabi-nabi, namun ilmu yang dibangsakan kepada wahyu yakni ilham masih tidak putus. Pemimpin yang memimpin kaumnya diakhir zaman ini yang mendapat warid atau ilham dari Allah adalah lebih terpimpin, ampuh dan selamat dari pemimpin yang bergantung kepada kekuatan ilmu atau kealimannya dan fikiran sendiri. Dan Allah taala itu tidak miskin dari mengadakan pemimpin pewaris ilmu wahyu yang ditugaskan menjaga ugamanya. Mereka ini telah pun disebut dalam hadis-hadis nabi. Mereka datang dan pergi silih berganti membawa kemenangan Islam menumpaskan kuasa kuffar. Islam menang dan manusia cepat lupa serta leka dengan kemenangan, kemudian Allah menjatuhkan umat yang lalai dan leka. Allah memberi pula kerajaan kepada kuasa kuffar. Umat Islam sedar setelah ditindas dan ingin kembali kepada kebenaran. Allah mengadakan seorang pemimpin yang membawa umat kepada kebenaran dan memenangkan kembali Islam. Begitulah silih berganti sehinggalah Allah menzahirkan Imam Mahadi seperti yang tersebut di dalam hadis-hadis sahih. Rasulullah tidak perlu bergantung kepada orang -orang kafir untuk memberi kemenangan kepada Parti Rasulullah. Kalau tentera Rasulullah hanya ada 313 orang dengan kelengkapan peperangan yang serba doif, manakala tentera musuh berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan perang yang canggih, atas perintah wahyu Allah Rasulullah pergi berperang jua. Rasulullah bergantung hanya kepada Allah dan tak perlu pertolongan makhluk-makhluk kafir. Namun parti Islam hari ini berijtihad perlu jua kepada undi orang kafir untuk memenangkan Islam. Maka terpaksalah bertoleransi dengan orang kafir bagi kepentingan bersama. Jadi terserahlah samada kita nak berjuang ikut kaedah tauhid Rasulullah atau ikut kepakaran dan keilmuan kita. Wallahu a’lam.

Dari sudut mana ustaz politik ini mengukur Habib Umar ulama palsu dengan alasan tidak berjuang. Dan dengan ukuran apa atau dengan penilaian apa pula ustaz ini menilai erti perjuangan. Apakah perjuangan itu ialah dengan kita mendaftar diri dalam satu pertubuhan politik dan kalau orang yang tak berpolitik itu di’cop’kan tidak berjuang. Cepat melabelkan seseorang adalah satu sikap buruk bagi seseorang pejuang politik sekarang. Ini adalah satu penyakit yang kalau tak ditangani oleh pemimpin-pemimpin atasan akan menjadi lebih parah. Tapi kalau pemimpin atasan pun bersikap yang serupa itu lagi parah. Apabila Habib Umar dijemput ke Malaysia di atas tiket pemimpin UMNO maka segelintir ahli dan pemimpin PAS memandang serong dan terus meng’cop’ Habib Umar adalah ‘Proksi UMNO’. inilah satu kesilapan besar pendakwah-pendakwah kita. Andai kata pemimpin MCA menjemput Habib Umar berceramah kerana ingin mendengar mengenai Islam adakah kita akan cop Habib Umar Proksi MCA?. Kalau DAP menjemput pemimpin PAS di dalam majlis-majlis DAP, kita tak boleh kata bahawa PAS proksi DAP atau PAS ikut telunjuk DAP, jawapannya senang saja ia itu untuk memberi kefahaman mengenai Islam yang sangat adil kepada orang-orang kafir dalam DAP. Alhamdulillah berkat usaha gigih dari kalangan pemimpin-pemimpin PAS sekarang DAP sudah tidak alergi lagi pada PAS. Cumanya tak boleh lagi disebut mengenai Negara Islam kerana DAP masih lagi alergi dengan ungkapan itu.

Persoalannya apakah PAS akan rugi bila UMNO menjemput Habib Umar datang ke Malaysia?. Saya berpendapat PAS tidak rugi apa-apa, malahan memberi kelebihan kepada PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam. Samalah seperti UMNO menjemput Dr Yusoff Qardawi ke Malaysia sebenarnya tidak menguntungkan UMNO malahan memberi kelebihan kepada PAS. Begitu jua kebanyakan guru-guru pondok tidak memihak kepada PAS atau UMNO untuk mengajar ilmu ugama. Kalau PAS tak betul tak boleh dibiarkan mesti ditegur dan bila ditegur jangan pula kata kumpulan si anu tidak pro PAS. Dalam menyampaikan ilmu ugama semua berhak menerima ilmu Islam samada PAS atau UMNO. Kalau orang PAS susah nak merapati orang UMNO maka NGO Islam lain boleh bergaul dengan orang UMNO,mudah-mudahan orang UMNO yang dah Islam lebih cenderung lagi kepada Pemerintahan Islam atau terus menyokong PAS. Jadi bila sesebuah pondok menjemput mufti atau kakitangan Jabatan Agama Negeri untuk meresmikan sesuatu majlis janganlah kita melatah dan terus cop pondok itu pro UMNO. Bersangka baiklah sesama jemaah Islam kerana orang pun akan bersangka baik bila kita menjemput kafir DAP dalam majlis kita. Bagi Habib Umar siapa saja yang menjemput beliau maka beliau akan datang dengan membawa mesej LAAILAAHA ILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH. Kita juga dapati apabila pemimpin UMNO membawa Habib Umar ke Malaysia yang hadir pada majlis tersebut bukannya orang-orang UMNO tapi golongan berketayap putih yakni orang-orang PAS, NGO Islam dan pelajar-pelajar pondok. Manakala orang UMNO lebih gemar kepada konsert-konsert. Jadi bila kita berburuk sangka kepada Habib Umar atau mana-mana ulama bebas lain itu adalah satu kerugian yang besar.

Habib Umar bukan sahaja diperleceh oleh sebilangan pemimpin-pemimpin Islam di negara kita. Beliau juga difitnah dengan berbagai-bagai tuduhan di negaranya sendiri. Golongan yang cenderung kepada fahaman wahabiah di Yaman termasuk pelajar-pelajar Malaysia di Sana’ah Yaman menuduh Habib Umar pengamal ajaran sesat, pembid’ah dan penyembah kubur. Bumi Yaman adalah bumi Ambia dan Aulia. Banyak makam-makam perkuburan nabi-nabi dan wali-wali Allah terdapat di sana. Banyak pula hadis-hadis nabi yang mengharuskan menziarah kubur dan mengajar adab-adab menziarah perkuburan nabi-nabi dan wali-wali Allah serta mengambil berkat daripada mereka. Kalau kita tak mahu ziarah kubur-kubur nabi pun tak apa tapi jangan pula kita tuduh orang yang menziarah kubur itu pergi menyembah kubur. Takkan tak tahu nak bezakan tuhan dengan kubur. Kubur itu makhluk, kayu batu itu bukan tuhan. Orang yang mati dalam kubur juga makhluk Allah. Makhluk tak boleh memberi bekas, samada orang mati atau orang hidup sekalipun pada hakikatnya tidak memberi apa-apa manafaat melainkan Allah. Namun kita wajib percaya dengan firman Allah yang menyebut bahawa Nabi-nabi dan Wali-wali Allah dan orang yang mati pada jalan Allah mereka itu hidup di dalam kubur mereka dan Allah memberkati mereka. Masalah samada boleh atau tak boleh kita mengambil barkah daripada mereka sudah pun dibahaskan oleh ulama-ulama muktabar sejak berkurun lalu. Kalau kita merasa Islam berjaya dan tertegak kerana usaha dan ikhtiar serta pengorbanan kita maka syirik juga hukumnya kerana tiada sandaran kepada Allah.

Akhir sekali marilah kita kembali kepada jalan yang telah digariskan oleh pemimpin Agong kita Saiyidina Wa Habibina Muhammad s.a.w dan jalan orang-orang yang telah Allah berikan petunjuk. Perbaikilah diri kita sendiri bagi menguntungkan dan memantapkan perjuangan Islam. Anggaplah semua orang Islam itu bersaudara dan penuhilah hak-hak saudara kita walaupun mereka tidak sealiran fahaman politik dengan kita. Selalulah berdoa dan buatlah sembahyang hajat supaya Allah memberi petunjuk kepada seluruh umat Islam dan menyatukan hati-hati seluruh umat dibawah satu payung dan bukan berdoa untuk melaknat mereka. Nabi sendiri dalam misi dakwahnya dihalang dengan berbagai-bagai cara yang zalim, dibaling dengan batu hingga berdarah, dihalangi jalan nabi dengan duri, dipersenda dengan meletak belulang binatang semasa nabi bersembahyang dan berbagai lagi, sehinggakan para malaikat ingin membalas perbuatan kafir Quraish dengan mengangkat gunung ingin dihempas ke atas kafir Quraish namun nabi tak benarkan malah berkata dan berdoa supaya ada zuriat dari kalangan umat yang derhaka itu mendapat petunjuk.

Wallahu a’lam

http://tibbilqulub.wordpress.com/2010/06/22/apabila-habib-umar-al-hafidz-di-tuduh-ulama-palsu/

One response to “Apabila Habib Umar Di Tuduh Ulama Palsu

  1. Alhamdulillah tenang hati saya membaca penjelasan Baba. Moga mereka yg menghina ulama mendapat hidayah. Wassalam.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s