Terpinggirkah Guru GSTT


Di Naqal dari blog: http://buletinkpm.blogspot.com/2010/06/terpinggirkah-gstt.html#more

Terdapat tanggapan yang tidak betul bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia tidak memberikan perhatian khidmat dan sumbangan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Tanggapan itu sebenarnya lebih merupakan tanggapan peribadi guru yang terlibat kerana memikirkan akan adanya tawaran secara automatik untuk diserapkan ke jawatan guru. Mereka beranggapan bahawa setelah berkhidmat sebagai GSTT maka peluangnya untuk menjadi guru terlatih lebih mudah atau tidak perlu bersaing secara saksama dengan calon lain yang turut memohon. Seharusnya, seseorang yang diterima bekerja sebagai GSTT perlu sedar dan faham, mereka hanya dibayar elaun dan bukan gaji. Elaunnya berdasarkan jumlah hari bekerja dan tempoh tertentu. Jika tempoh yang dilaluinya itu adalah pendek, iaitu memenuhi kekosongan sementara di sesebuah sekolah kerana pelbagai faktor, secara jelasnya perkhidmatan itu hanya untuk menampung keperluan semasa. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak pernah memberikan jaminan bahawa setelah tamat tempoh bertugas sebagai GSTT, akan terus diterima untuk menjalani latihan perguruan sebelum layak ditawarkan sebagai seorang guru terlatih. Seseorang yang berhasrat menjadi guru perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan dan syarat tersebut tidak termasuk pernah bertugas sebagai GSTT. Antara syarat wajib ialah melepasi tahap kelulusan minimum untuk memohon kemasukan ke program Diploma Perguruan ataupun Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Setelah mengemukakan permohonan, pihak KPM membuat tapisan bagi memilih mereka yang terbaik sebelum dipanggil menduduki peperiksaan scholastik. Setelah lulus ujian tersebut, mereka akan dipanggil untuk temuduga dan keputusan temuduga itulah akan menentukan sama ada seseorang terpilih atau tidak ke program latihan perguruan yang ditetapkan. Perlu disedari bahawa seseorang yang memilih kerjayanya sebagai seorang guru mestilah mempunyai nilai dan memenuhi kriteria tertentu. Dalam membuat pilihan itu, KPM yang mempunyai jumlah permohonan yang ramai, maka mereka yang benar-benar memenuhi syarat dan lulus dalam temuduga akan ditawarkan. Tentunya, kalaulah bekas GSTT yang mempunyai kelayakan, melepasi ujian saringan dan lulus temuduga, ia akan turut terpilih, jika ikut membuat permohonan setelah tawaran iklan berkenaan dikeluarkan. KPM membuat ketetapan sedemikian kerana kerjaya perguruan bukanlah satu bentuk kerjaya yang boleh dianggap memadai dan senang. Seseorang guru mestilah mempunyai nilai sahsiah yang baik kerana tanggungjawabnya adalah mendidik para pelajar. Harus disedari bahawa pendidikan secara holistik bukan hanya sekadar menyampaikan pengetahuan berdasarkan kurikulum, tetapi turut melibatkan aspek tingkahlaku, kemahiran bersosial dan keadaban. Tugas guru ialah membina modal insan untuk memenuhi keperluan negara dan bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan mata pelajaran yang ditetapkan. Kualiti pendidikan tidak hanya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata. Ia turut mengambil kira cara seseorang itu memimpin para pelajar dan impak bimbingan yang diberikan sehingga mampu melahirkan seorang yang benar-benar memahami makna terpelajar. Bagi memenuhi tanggungjawab tersebut, tidak pula bermakna GSTT tidak mempunyai kualiti yang diharapkan, tetapi pengalaman tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai satu kelebihan dan keistimewaan, ia masih bergantung kepada syarat asas yang ditetapkan. Memangnya KPM memerlukan khidmat GSTT, kerana itu adalah penyelesaian jangka pendek apabila menghadapi masalah kekurangan guru terlatih. Apabila guru terlatih dilantik, ia dengan sendirinya menunjukkan tidak ada kekosongan berlaku, maka KPM berhak untuk menamatkannya. KPM tidak pernah menafi atau meminggirkan khidmat bakti GSTT dan kerana itulah dibayar elaun selayaknya sepanjang perkhidmatannya. Memang ada kes di mana GSTT diberikan peluang untuk dilantik sebagai guru terlatih, iaitu setelah berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan, termasuk mendapat latihan Kursus Dalam Cuti, sama ada di peringkat KPLI ataupun ditawarkan ke kursus Sarjana Muda Perguruan sepenuh masa selama 5 tahun jika belum mempunyai ijazah pertama. Malah yang lebih penting ialah mata pelajaran yang dipilih atau mempunyai kelebihan pada peringkat kelayakan asas. Jika matapelajaran tersebut dalam kumpulan mata pelajaran kritikal, peluangnya mungkin lebih mudah. Sebaliknya, jika mata pelajaran bukan dalam kumpulan kritikal, ia akan menjadi lebih sukar untuk ditawarkan mengikuti kursus perguruan selanjutnya. KPM perlu membuat pilihan yang betul dan terbaik, kerana tanggungjawab membina modal insan bukanlah mudah sebagaimana difikirkan oleh sesetengah orang. Kelulusan yang baik bukanlah melambangkan kita sudah memadai, modal yang insan yang kita perlu hasilkan ialah mampu bersaing, kreatif, mempunyai ketahanan mental dan fizikal, sahsiah yang bertepatan dengan nilai keinsanan manusia serta inovatif. Posted by KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA at 3:26 PM Labels: GSTT, guru, modal insan 9 comments:

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s