Gejala Murtad Perlu Ditanggani Dengan Serius


Gejala Murtad Perlu Ditanggani Dengan Serius
dipetik dari Harian Metro
FIRMAN Allah SWT, bahawasanya: “Sesungguhnya Allah mengurniakan (Rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman selepas Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-Nya (al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat) serta mengajar mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan mendalam mengenai hukum syariat).

“Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Ali Imran, ayat 164).

Sebagaimana maksud ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa diutuskan dua perkara kepada manusia supaya tidak terus berada dalam kesesatan.

Dua perkara itu adalah utusan Allah SWT yakni Rasulullah SAW dan al-Quran yang mengajar manusia mengenai perkara benar sebagai panduan utama manusia untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Namun seperti kita ketahui, selari dengan peredaran masa, banyak kita lihat berlakunya kesesatan di kalangan umat Islam masa kini apabila ramai menjadi murtad.

Perlu kita ketahui, murtad atau keluar Islam dan mengikut jalan sesat adalah jenayah agama yang merosakkan akidah seseorang, sekali gus dikhuatiri menjangkiti institusi Islam secara keseluruhannya.

Ini sebagaimana firman Allah menerusi surah Al-Baqarah, ayat 217, yang bermaksud: “…dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada agamanya (Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”

Ayat ini menjelaskan maksud murtad itu ialah berpaling tadah daripada agama Islam atau meninggalkan Islam atau keluar Islam atau kembali kepada kufur.

Ketahuilah, akibat dan dosanya adalah teramat besar, iaitu apabila dicabut nyawa seseorang itu, matilah dia dalam keadaan kafir.

Apabila matinya seseorang itu dalam keadaan kafir, segala amal ibadah yang dilakukannya menjadi rosak binasa, sekali gus selama-lamanya menjadi penghuni neraka.

Sebenarnya, gejala murtad tidak akan terjadi dalam kehidupan umat Islam jika umat Islam mempelajari, mengetahui, memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang kemudian diamalkan oleh sahabat serta ulama Islam.

Justeru, usaha membendung supaya gejala murtad ini tidak berlaku secara berleluasa, seluruh umat Islam membabitkan golongan ulama, pemimpin, ilmuan, guru, ibu bapa hinggalah institusi, persatuan dan individu umat Islam hendaklah mengambil peranan serius.

Setiap daripada kita perlu berperanan supaya anak yang lahir pada hari ini diberi didikan Islam secukupnya kerana ia faktor yang menentukan kekuatan iman mereka.

Paling mudah, Rasulullah SAW sendiri mengingatkan umatnya bahawa satu perkara yang boleh menyesatkan manusia adalah apabila seseorang itu taksub pada harta dunia sebagaimana maksud hadis riwayat At-Thusi yang bermaksud: “Cinta terhadap harta dan kedudukan akan mengikis agama seseorang.”

Jadi, untuk mengatasi dan menangani gejala murtad daripada berlaku, umat Islam hendaklah kembali kepada panduan ajaran al-Quran dan mempelajari, memahami, menghayati dan mengamalkan segala isi pengajaran dan panduan al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW.

Di dalam al-Quran disebutkan bahawa al-Quran adalah petunjuk hidayah yang menunjukkan jalan betul, benar dan lurus, sebagaimana Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya al-Quran memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala besar.” (Al Israa, 9)

Demikianlah Islam memberikan petunjuk dan panduan hidup yang terbaik kepada umatnya dalam segala bidang, permasalahan sama ada yang kecil, besar atau yang ringan mahupun berat.

Mudah-mudahan dengan panduan al-Quran, sunah Rasulullah SAW serta mengikut jejak langkah hidup ulama, umat Islam akan selamat dan terjamin di dunia dan akhirat.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s