Islam Sampai Ke Tanah Melayu Pada Abad Ke 11


Slideshow ini membutuhkan JavaScript.


1.0 PENDAHULUAN
Islam merupakan agama yang benar yang diredhai oleh Allah s.w.t. Agama Islam disampaikan oleh utusan Allah iaitu junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kepada umat manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, pangkat dan kedudukan. Sama ada kecil, besar, tua ataupun muda, semuanya dapat menghayati dan merasai nikmat agama yang mulia ini. Islam dipercayai bertapak di alam Melayu sekitar kurun ke-13 Masihi (Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh: 1985: 95). Antara negeri-negeri yang paling awal menerima ajaran agama Islam ialah Melaka, Kedah, Kelantan dan juga Terengganu.

Negeri Kelantan juga merupakan antara negeri yang mempunyai pegangan yang kuat dalam agama. Di negeri inilah banyak melahirkan ulama’-ulama’ yang terkenal dan dihormati sama ada oleh masyarakat setempat atau masyarakat di tempat-tempat lain. Pada abad ke-19, iaitu antara tahun 1800 sehingga tahun 1899, perkembangan Islam di negeri Kelantan ini semakin kuat sehinggalah negeri ini diberi gelaran sebagai Serambi Mekah yang mana ianya bersesuaian dengan keadaan negeri tersebut yang melahirkan ramai tokoh agama dan para ulama.

2.0 SEJARAH MASUKNYA ISLAM KE NEGERI KELANTAN
Sejarah pengajian al-Quran di Kelantan adalah sama masuknya Islam ke Kelantan. Ini kerana Islam dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Tetapi setakat ini belum ada ahli sejarah yang dapat menetapkan tarikh kemasukan Islam dan permulaan pengajian al-Quran, kerana pengajian sejarah negeri Kelantan kurang diambil perhatian. .( Ismail bin Awang : 1986 : 76 )

Oleh kerana negeri Kelantan yang dikenal dengan nama Sriwijaya pada masa itu telah menjadi tempat persinggahan, maka tidak mustahillah adanya anak negeri Kelantan ketika itu memeluk Islam, walaupun ahli-ahli sejarah mengatakan bahawa Kerajaan Srivijaya beragama Buddha, kerana sudah menjadi kewajipan kepada orang-orang Islam yang berniaga melakukan dakwah kepada anak-anak negeri yang disinggahinya supaya memeluk Islam. ( Ismail bin Awang : 1986 : 77 )

Sikap orang Islam yang bergerak dengan perniagaan dan berdakwah itu diakui juga oleh T.W. Arnold dengan katanya , “ Orang Islam telah bergerak cergas dan meluas di lapangan perniagaan.”. Jadi jelaslah di sini bahawa Islam telah masuk ke Kelantan sebelum abad ke-12 Masihi lagi dan ianya telah dianuti oleh masyarakat Kelantan. Ini lebih jelas dengan kenyataan dinar yang ditemui di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.( Ismail bin Awang : 1986 : 78 )

Negeri Kelantan juga terkenal dengan gelaran Serambi Mekah, yang membayangkan negeri Kelantan sebahagian dari Mekah. Maksudnya di sini ialah Islam adalah kuat di negeri Kelantan. Kenyataan ini adalah tepat kerana Kelantan telah beberapa kali menjalankan hukum mengikut al-Quran seperti di zaman pemerintahan Sultan Ahmad (1886-1889 M) dan Sultan Mansur (1890-1900 M), walaupun tidak semuanya undang-undang Islam itu dijalankan. ( Ismail bin Awang : 1986 : 79 )

3.0 PERANAN ULAMA-ULAMA DI KELANTAN
Jika di negeri-negeri di Tanah Melayu bergelora kerana isu-isu yang berkaitan dengan fatwa dan lain-lain kontroversi yang bersangkutan dengan ajaran-ajaran Islam, maka negeri itu ialah Kelantan. Sejak abad ke-19 lagi, negeri-negeri Kelantan terkenal sebagai pusat terpenting di rantau ini di mana Islam memainkan peranan mencorakkan kehidupan sosial dan politik rakyat jelata negeri itu.(Alias Mohamad:1984:24)

Kelantan yang dianggap sebagai sebuah negeri Melayu yang unik mempunyai sejarahnya yang tersendiri dengan melahirkan tokoh-tokoh yang terkenal, sama ada tokoh-tokoh politik, sasterawan, budayawan, mahupun tokoh-tokoh agama yang menarik minat kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah untuk menyiasat dan mengkaji perkembangan fikiran, agama, kesusasteraan serta kebudayaan masyarakat yang tumbuh dan berkembang sejak beberapa abad yang lampau.( Alias Mohamad:1984:24 & 25)

Orang yang paling awal yang menyampaikan pendidikan Islam yang dapat dikesan setakat ini ialah Tuan Syeikh Haji Abdul Halim. Beliau telah memulakan pengajarannya di Kelantan pada akhir abad ke-18 Masihi setelah menamatkan pembelajaran di Meakh. Beliau telah menyampaikan pengajarannya di istana dan di surau-surau untuk anak-anak raja, anak-anak pembesar dan orang ramai. Pengajarannya telah mendapat sambutan daripada masyarakat Kelantan dan dari luar negeri. ( Prof. Khoo Kay Kim : 1982 : 1 )

4.0 SEKOLAH PONDOK DI KELANTAN
Kemasyhuran Kelantan serambi mekah berkait rapat dengan sekolah pondok. Hakikat ini adalah jitu kerana Kelantan ditakdirkan menjadi negeri percambahan sekolah pondok lebih daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu. Institusi pondok merupakan institusi yang paling istimewa kedudukannya dalam masyarakat Melayu tradisional, terutama masyarakat Kelantan. Pertumbuhannya berkait rapat dengan kemunculan tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan yang berwibawa.( Dato` Nik Mohamad bin Nik Mohd Salleh: 1991: 1 )

Perkataan pondok mungkin berasal perkataan Arab iaitu funduqun yang bererti rumah tumpangan atau tempat menginap pengembara-pengembara. Ada juga yang mendefinisikannya sebagai rumah kecil yang didirikan untuk sementara waktu di sawah-sawah, di lading-ladang atau di lain-lain tempat. Ada juga yang mengatakan perkataan langgar sama ertinya dengan perkataan pondok. Langgar itu berasal dari perkataan Farsi yang bererti madrasah atau tempat belajar. .( Dr. Haji Abdullah Ishak : : 179 )

4.1 Kemunculan Pondok
Kemunculan persekolahan secara pondok di Tanah Melayu tidak dapat dikesan dengan jelas, dan dalam banyak hal penulisan-penulisan dibuat daripada cerita orang tua-tua sahaja. Sebelum wujudnya persekolahan pondok ini, al-Quranlah merupakan satu institusi pengajian agama.( Prof. Khoo Kay Kim:1983:1 )

Di Kelantan pada kurun ke-19 Masihi dikatakan muncul beberapa buah pondok yang masyhur seperti Pondok Kubang, Pondok Sungai Budur, Pondok Tuan Tapang dan Pondok Tok Semaian. Antara ulama-ulama tempatan yang terkenal ialah Tuan Tabal ( Haji Abdul Samad bin Mohd Salleh ), Tok Kutan (Haji Wan Ali bin Haji Wan Ab. Rahman ) dan lain-lain.( Dr. Haji Abdullah Ishak : : 178 )

Negeri Kelantan juga yang mula-mula sekali mewujudkan sistem pondok, dan mula-mula mengadakan lembaga ini. Antara guru-guru pondok pada peringkat awal ialah seperti Haji Abd. Rahman bin Othman yang dikenali dengan gelaran Tok Selehor dan Haji Ahmad Padang Jelapang mendapat didikan ini diikuti pula oleh guru-guru di negeri Kedah. Dalam tahun 1909, lembaga institusi ini mula berkembang dan terus berkembang sehinggalah Perang Dunia Kedua( Prof. Khoo Kay Kim :1983: 3 )

4.2 Peranan Pondok
4.2.1 Peranan Pondok dalam Bidang Agama.
Tujuan pondok-pondok dibina adalah untuk memberi pengajaran agama kepada orang-orang kampong khususnya. Tidak keterlaluan jika dikatakan pondok merupakan pusat penyebaran pengetahuan agama Islam, sebelum lahirnya institusi pendidikan moden. Keadaan inilah yang mempercepatkan perkembangan agama Islam di Kelantan. Sebagaimana yang kita ketahui, sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi, Kelantan memang terkenal sebagai pusat pendidikan Islam. ( Prof. Khoo Kay Kim :1983: 9 )

4.2.2. Peranan Pondok dalam Bidang Sosial
Masyarakat Melayu yang belum diresapi oleh budaya Barat memandang golongan pondok sebagai dalil dan petunjuk, bukan sahaja dari segi keagamaan malah dari segi duniawi. Kedudukan status mereka terletak pada kedudukan yang tinggi. Betapa tingginya pandangan masyarakat Melayu terhadap institusi pondok dapat dilihat apabila setiap ibubapa mahukan anak-anak mereka belajar di pondok serta dapat melanjutkan pelajaran ke Mekah dan kembali menjadi tuan guru (ulama).( Prof. Khoo Kay Kim :1983 : 10 )

4.2.3. Peranan Pondok dalam Bidang Ekonomi
Kita tidak boleh menganggap golongan pondok ini semata-mata menumpukan kehidupan mereka kepada soal-soal yang berkaitan dengan keagamaan dan kitab-kitab pelajaran sahaja. Mereka juga seperti manusia yang lain mempunyai peranan untuk hidup dan cuba mencapai satu taraf kedudukan yang istimewa dalam masyarakat.
Memang nyata sekali tentang tidak adanya sumbangan ekonomi mereka terhadap negara pada masa mereka belajar, tetapi semasa cuti mereka juga akan turut sama bekerja, mengambil upah, ataupun sekadar menolong ibubapa mereka. Membantu ibubapa dan bekerja sendiri dalam masa cuti amatlah perlu, kerana semasa belajar nanti mereka bergantung penuh kepada kiriman wang dari kampung. Oleh kerana ramai berasal
daripada keluarga miskin, mereka sering makan lauk seperti ikan kering dan sayur kangkung.

5.0 SAMBUTAN MASYARAKAT TERHADAP PARA ULAMA
Ulama-ulama pada umumnya di samping dianggap alim dalam ilmu agama, juga dipercayai oleh orang ramai sebagai manusia yang berkat. Oleh kerana menghendaki keberkatan itu tertumpu kepada diri mereka masing-masing demi untuk mendapat restu serta keuntungan hidup di dunia dan di akhirat nanti, maka orang ramai cuba pula mendekati diri masing-masing dan berbakti kepada ulama-ulama tadi.

Apabila khabar didapati bahawa ada anak tempatan telah tamat belajar di Mekah dan dianggap menjadi alim, mereka akan dinanti-nantikan oleh masyarakat di Kelantan. Sebagai contohnya, sesampai sahaja Tuan Tabal di Pelabuhan Tumpat, Kelantan, dari Mekah dengan sebuah kapal, beliau telah disambut oleh masyarakat di situ termasuklah seorang pembesar negeri Kelantan pada masa itu yang bergelar Tok Semian. Semasa di Tumpat itu juga, beliau telah ditawarkan oleh Tok Semian supaya berkahwin dengan anak perempuannya yang bernama Wan Som. Di Lorong Tok Semian di dalam bandar Kota Bharu, selepas perkahwinan itu, Tuan Tabal telah diwakafkan oleh keluarga Raja Muda Zainal Abidin sebuah surau untuk beliau mengajar dan beribadah di situ.

Begitu jugalah halnya dengan ulama-ulama yang lain. Antaranya ialah Tok Kenali. Dikatakan apabila beliau kembali dari Mekah, beliau dikunjungi oleh berduyun-duyun masyarakat setempat termasuklah sahabat-sahabat beliau sendiri. Begitu juga halnya dengan kedatangan Haji Muhd. Said ke bandar Kota Bharu dari Negeri Sembilan, pada penghujung abad ke sembilan belas telah mendapat sambutan yang ramai daripada masyarakat setempat. Beliau merupakan seorang ulama yang dianggap wali serta berkat oleh kebanyakan anggota masyarakat jajahan ini.

6.0 REAKSI PEMERINTAH TERHADAP ISLAM
6.1 Sultan Muhammad II (1837-1886)
Merupakan Sultan Kelantan yang melakukan pemerintahan lebih teratur dan mengikut undang-undang Islam. Baginda melantik mufti sebagai ketua hakim bagi menguruskan masalah-masalah yang berkaitan dengan agama Islam. ( Ismail bin Awang : 1986 : 80 ) sewaktu pemerintahan baginda juga, masjid besar Kota Bharu dibangunkan kerana masjid sebelumnya runtuh akibat banjir. Masjid kayu itu didirikan pada tahun 1867 M dan ianya menjadi pusat ibadat dan pusat pengajian Islam, sehinggalah masjid batu iaitu Masjid Muhammadi dibangunkan pada tahun 1925 M. .( Ismail bin Awang : 1986 : 81 )

6.2 Sultan Muhammad III (1889-1890)
Baginda telah melakukan pembaharuan yang besar dan berani iaitu dasar undang-undang keadilan dalam sebarang guaman sama ada jenayah, atau mal haruslah berlandaskan hukum syarak, dan dengan dasar undang-undang keadilan yang dijalankan oleh baginda inilah negeri Kelantan menjadi bertambah aman kerana takutkan hukuman-hukuman syarak yang berat. Contohnya, seorang pencuri, jika sabit kesalahannya di sisi syarak, maka hukumannya adalah dipotong tangan. .( Ismail bin Awang : 1986 : 81 )

6.3 Sultan Mansor (1890-1900 M)
Merupakan seorang pemerintah yang minat kepada Islam dan menghormati para ulama. Baginda telah membuat suatu perubahan yang besar kepada pakaian rakyat Kelantan iaitu memperkenalkan pakaian yang menutup aurat sesuai dengan ajaran al-Quran.( Ismail bin Awang : 1986 : 81 )

KESIMPULAN
Sebagai intihalnya, dapatlah kita ketahui bahawa kedatangan Islam di negeri Kelantan adalah antara yang terawal di Tanah Melayu. Berdasarkan bukti-bukti yang dijumpai, dapatlah dikatakan kedatangan Islam ke negeri Kelantan mendatangkan impak yang positif sama ada terhadap penduduknya ataupun terhadap penuntut dan para pelajar dari luar negeri. Pembinaan pondok sebagai tempat mengajar ilmu agama pada masa dahulu amatlah mendapat sambutan dan perhatian di kalangan masyarakat. Kesan yang dibawa oleh Islam pada waktu tersebut masih boleh dilihat sehingga sekarang, contohnya Pondok Pulai Chondong yang masih lagi berfungsi sebagai tempat menuntut ilmu walaupun ianya telah bertukar system dan cara pengurusannya namun matlamatnya adalah sama iaitu untuk mencurahkan ilmu kepada masyarkat dan orang ramai.

RUJUKAN
Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan, 1983. Islam di Kelantan. Kuala Lumpur : United Selangor Press Sdn. Bhd.
Ismail Che Daud, 1988. Tokoh-Tokoh Ulama` Semenanjung Melayu (1). Kuala Lumpur : Perniagaan Rampai Utama
Dr. Haji Abdullah Ishak, . Islam di Nusantara ( Khususnya di Tanah Melayu).Kuala Lumpur : MASKHA Sdn. Bhd.
Prof. Khoo Kay Kim, 1982. Perbadanan Muzium Negeri Kelantan : Jabatan Sejarah UM
Ismail bin Awang, 1986. Beberapa Aspek Warisan Kelantan V. Kota Bharu : Perbadanan Muzium Negeri Kelantan
Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan, 1983. Islam di Malaysia. Kuala Lumpur : Percetakan United Selangor Sdn. Bhd
Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh, 1985. Beberapa Aspek Warisan Kelantan IV. Kota Bharu : Perbadanan Muzium Negeri Kelantan
Dato` Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh, 1991. Warisan Kelantan X. Kota Bharu : Perbadanan Muzium Negeri Kelantan
Prof. Khoo Kay Kim, 1983. Beberapa Aspek Warisan Kelantan II. Perbadanan Muzium Negeri Kelantan : Jabatan Sejarah UM
Alias Mohamed, 1984. Gerakan Sosial & Politik Kelantan. Kuala Lumpur : Insular Publishing House

dari blog: http://juanghinggatitisan.blogspot.com/2010/05/1.html

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s